Polis serah kertas siasatan potong barisan vaksin ke TPR

7

25 MAC: Polis Kelantan sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung paparan di laman sosial mendakwa kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri cuba memotong barisan suntikan COVID-19 kepada pendakwa raya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata siasatan hampir selesai dan terserah kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan susulan.

“Siasatan kita hampir selesai dan sekarang kertas siasatan dirujuk kepada pendakwa raya negeri dan pihak ini sudah membawanya ke Putrajaya untuk arahan selanjutnya.

“Jadi kita tunggu apa arahan Putrajaya,” katanya kepada media selepas sambutan Hari Polis peringkat Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak polis sudah merekodkan keterangan individu utama, iaitu seorang doktor pada minggu lepas.

Sebelum ini, katanya, seramai tujuh individu sudah direkodkan keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Pada 3 Mac lepas, kerajaan Kelantan melalui pegawai khas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Mohamed Taufik Ramli membuat laporan berhubung penularan paparan serta dakwaan itu.

Kerajaan negeri meminta pihak polis menjalankan siasatan berhubung laporan itu yang didakwa tidak benar dan menjejaskan imej kerajaan negeri.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin menafikan dakwaan berlaku ‘potong q’ membabitkan 200 kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK) dalam program imunisasi COVID-19 di Kelantan pada 2 Mac lepas.

Awal bulan ini, tular di laman sosial, antaranya di Twitter memaparkan tangkap layar pesanan mendakwa suntikan vaksin COVID-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal terpaksa ditangguhkan bagi memberikan laluan kepada kakitangan SUK.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.