Keputusan kerajaan letak AKSEM di bawah PDRM langkah tepat

67

25 MAC: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan strategi meletakkan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) berupaya menyekat pencerobohan warga asing dengan lebih berkesan terutama ketika penularan pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata langkah itu juga bertujuan menstruktur semula dan memperkasakan strategi kawalan sempadan negara secara holistik bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan rakyat kekal terpelihara.

“Kerajaan percaya strategi meletakkan peranan AKSEM di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) ia bakal menyekat pencerobohan masuk warga asing ke dalam negara dengan lebih berkesan dan efisien, terutamanya ketika penularan pandemik COVID-19.

“Menerusi Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017, AKSEM adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melaksanakan kawalan di sempadan darat negara terhadap kegiatan penyeludupan atau kegiatan tidak sah yang lain,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena perbarisan peringatan Hari Polis ke-214 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Sebelum ini, media melaporkan Hamzah mengumumkan AKSEM diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM dalam usaha memperkasa fungsi agensi itu.

Beliau dilaporkan berkata, perkara itu diluluskan di peringkat Kabinet bagi memperbaiki dan memperkukuhkan penugasan kawalan di sempadan.

Berikutan itu, Muhyiddin juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada PDRM bersama agensi dan jabatan kerajaan lain yang telah mengawal sempadan negara daripada dibolosi oleh warga asing dalam beberapa operasi berterusan yang dijalankan seperti OP PASIR dan OP BENTENG.

Muhyiddin berkata lebih membanggakan, walaupun hampir seluruh kekuatan telah dikerahkan untuk penugasan OP COVID-19, PDRM tetap berjaya mengimbangi keutamaan perkhidmatan pasukan memerangi jenayah serta mengekalkan rasa selamat dalam kalangan rakyat sekaligus memastikan keamanan negara. Mereka adalah antara “the real frontliners” yang telah bertungkus lumus mengekang penularan wabak berkenaan.

Dalam usianya yang kini menjangkau 214 tahun, Perdana Menteri berkata PDRM telah berjaya mengadaptasi dengan cemerlang melalui beberapa siri transformasi dan pembaharuan dari semasa ke semasa bagi memastikan PDRM kekal relevan mengikut peredaran zaman.

Beliau berkata sejajar dengan kemajuan era teknologi canggih, terkini dan dunia tanpa sempadan, kerajaan sedar bahawa PDRM pada hari ini berdepan dengan cabaran-cabaran yang lebih kompleks dan rumit berbanding ancaman jenayah tradisional pada waktu dahulu,

“Sungguhpun begitu, berbekalkan jati diri, profesionalisme dan keupayaan yang tinggi dalam kalangan anggota PDRM, saya yakin bahawa pasukan PDRM mampu mematahkan serta membenteras kegiatan jenayah yang semakin kompleks.

“Dalam konteks ini, saya juga percaya bahawa masih wujud ruang pemerkasaan yang luas untuk pasukan PDRM meningkatkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan oleh warga PDRM dalam memikul amanah yang dipertanggungjawabkan ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.