Kanak-kanak cedera ditikam wanita kurang siuman guna garpu

21

25 MAC : Seorang wanita yang dipercayai kurang siuman bertindak menikam seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menggunakan garpu mengakibatkan kanak-kanak tersebut cedera di bahagian kepala dan tangan.

Dalam kejadian jam 8 pagi di Taman Mount Austin, Johor Bahru itu berlaku ketika kanak-kanak  terbabit dipercayai berada di luar bangunan pusat tuisyen di kawasan itu.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu hasil laporan polis yang dibuat bapa mangsa.

Menurut Mohd Padzli, pengadu di dalam laporannya itu memaklumkan anak perempuannya berumur tujuh tahun telah didatangi seorang wanita yang disyaki kurang siuman.

“Wanita itu telah mencucuk anak perempuan pengadu menggunakan garpu sehingga menyebabkan cedera pada bahagian kepala dan tangan, kemudian melarikan diri.

“Suspek yang tidak dikenali itu dipercayai kurang waras. Polis sedang mencari suspek yang masih belum dikesan ketika ini,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.