CAAM pandang serius 3 nahas helikopter sejak 6 bulan lalu

16

25 MAC: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memandang serius isu tiga kemalangan membabitkan helikopter yang berlaku dalam tempoh enam bulan lalu.

Berikutan itu, CAAM  akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu keselamatan membabitkan pengoperasian helikopter di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo, berkata CAAM akan mengadakan taklimat pematuhan peraturan keselamatan bagi pengendali helikopter, organisasi penyelenggaraan dan juruterbang.

Katanya, langkah berkenaan perlu bagi memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi sepenuhnya, manakala kehadiran semua yang terbabit dalam aktiviti ini adalah diwajibkan.

“Taklimat pematuhan peraturan keselamatan ini merangkumi latihan pengurusan keselamatan, mengenal pasti sebarang perkara berbahaya serta faktor dan penilaian risiko keselamatan untuk dipertimbangkan dalam pengurusan keselamatan bagi semua pihak termasuk organisasi kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam dua cedera manakala tiga lagi selamat selepas helikopter jenis Airbus AS350 B3 terhempas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang.

Pesawat itu dikendalikan firma Leopad Aviation Sdn Bhd dengan dikemudikan oleh seorang juruterbang dan dinaiki empat penumpang lain.

Kejadian semalam adalah nahas helikopter kedua dilaporkan tahun ini selepas kemalangan pertama yang dilaporkan pada 1 Januari lalu membabitkan pesawat jenis Robinson R66 milik My Heli Club di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.

Mengulas lanjut, Voo berkata, semua pengendali helikopter di negara ini sudah diperiksa sepenuhnya, malah mereka diwajibkan memiliki lesen sah serta sijil penyelenggaraan bagi memastikan kelayakan juruterbang adalah sahih selain layak untuk menerbangkan helikopter.

Katanya, Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kemalangan helikopter di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, itu

“Pada masa sama, CAAM akan melaksanakan latihan bagi memastikan risiko seperti ini dapat dikurangkan seterusnya mengelak kejadian serupa berulang pada masa depan.

“Tindakan ini akan dilaksanakan dengan peraturan yang adil dan paling penting ia dilakukan demi kepentingan keselamatan semua pihak,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.