Taktik jadikan rumah mewah makmal proses dadah terbongkar

84

24 MAC: Hasil penangkapan tiga lelaki oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah, kelmarin berjaya membongkar satu sindiket dadah yang menjadikan kediaman elit sebagai makmal memproses pil ekstasi. 

Tangkapan ke atas tiga suspek berumur 30 hingga 37 tahun itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM11.8 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, tangkapan pertama membabitkan dalang utama sindiket berusia 33 tahun dan rakannya yang ketika itu sedang memandu kereta di kawasan perumahan Taman Pauh Jaya, Pulau Pinang kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurut beliau, apabila suspek menyedari diekori, pemandu kereta tersebut bertindak merempuh kereta polis sebelum memecut untuk melarikan diri namun berjaya dipintas polis di Taman Sutera, Perai, Pulau Pinang. 

“Berpandukan maklumat daripada dua suspek itu, pihak polis menyerbu sebuah kediaman elit di Taman Pauh Jaya yang dijadikan makmal bagi memproses pil ekstasi.

“Hasil pemeriksaan pihak polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM11.8 juta, serbuk kafein, cecair kimia, pelbagai peralatan serta mesin menghasilkan pil ekstasi.

“Susulan itu, kita menahan seorang lagi suspek berusia 30 tahun yang juga adik kepada dalang utama sindiket di sebuah di kediaman di Sungai Petani, Kedah pada hari yang sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, hari ini. 

Dalam pada itu, Sahabudin memberitahu sindiket itu aktif memproses dan mengedar pil ekstasi sejak enam bulan lalu di samping suspek mengaku menyewa kediaman elit itu dengan bayaran berjumlah RM2,800 sebulan bagi dijadikan makmal memproses pil ekstasi.

Tambah beliau, dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan dan jika terlepas di pasaran, ia mampu dibekalkan kepada 651,134 penagih.

“Pihak polis juga berjaya merampas enam buah kenderaan antaranya Range Rover Evoque, Mini Cooper, Honda Odyssey, Mercedes Benz serta sebuah motosikal kuasa tinggi jenis Kawasaki Z800.

“Hasil soal siasat mendapati suspek utama dan rakannya merupakan ‘pakar kimia’ dalam menghasilkan pil ekstasi untuk pasaran tempatan itu. Mereka mempunyai kepakaran untuk memasak serta memproses ekstasi. 

“Kedua-dua suspek itu positif dadah serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Suspek ketiga tidak mempunyai rekod lampau namun aset milik sindiket didaftarkan atas namanya,” katanya. 

Tambah beliau, kesemua suspek direman sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.