KKM: Sebanyak 919 kluster telah ditamatkan

13

24 MAC: Kementerian Kesihatan memberitahu bahawa sebanyak 919 kluster COvid-19 telah ditamatkan termasuk lapan kluster yang tamat pada hari ini.

Kluster tersebut adalah Kluster Kubang Jambu, Kluster Jalan Geronggang, Kluster Bukit Tengah dan Kluster Pangkal Changgong,

Selain itu, Kluster Kluster Ladang Segama, Kluster Tapak Bina Jalan Abdul Aziz, Kluster Jalan Dato Yunus, dan Kluster Tapak Bina Jalan Emas dan turut ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kluster aktif kini adalah 395 kluster dan jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 56 kluster.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Persiaran Sunsuria (52 kes), Kluster Industri Permata Dua (51 kes), dan Kluster Teknologi Lot Enam (48 kes), ” katanya menerusi kenyataan media  perkembangan COVID-19, hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu terdapat empat kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan dua kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster komuniti dan kumpulan berisiko tinggi

“Kluster tersebut adalah Jalan Wawasan Dua, Johor; Industri Permata Dua, Negeri Sembilan; Jalan Alam, Selangor dan Chupak, Sarawak,” katanya.

Tambah beliau, Kluster Jalan Wawasan Dua dilaporkan hasil saringan bersasar pekerja kilang di Batu Pahat Johor yang 24 kes daripada mereka dikesan positif COVID-19.

Beliau berkata, hasil saringan bersasar pekerja-pekerja di tiga buah kilang yang terletak di Nilai Seremban yang mengesan 51 kes positif yang membentuk kluster baharu kedua hari ini iaitu Kluster Permata Dua.

“Kluster ketiga pula melibatkan Kluter Jalan Alam di Kuala Langat dan Petaling, Selangor hasil saringan individu bergejala melibatkan sebuah pusat perubatan dan hasil saringan, 16 daripada 97 individu yang disaring positif COVID-19.

“Kluster terakhir yang telah dikenalpasti adalah Kluster Chupak yang hasil saringan individu bergejala yang melibatkan komuniti di Kampung Chupak, Siburan, Serian.

“”Sehingga 24 Mac 2021, sejumlah 338 individu telah disaring, di mana 57 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Noor Hisham memaklumkan Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 490 kes dan daripada jumlah ini, sebanyak 412 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Tambah beliau, ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 141 kes dan Johor sebanyak 135 kes di samping 41 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI). – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.