Sengsara 22 bulan di bawah PH perlu dijadikan pengajaran

27

23 MAC: Walaupun UMNO kini menjadi sebahagian daripada kerajaan namun episod sengsara selama 22 bulan jangan sesekali dilupakan dan perlu dijadikan pengajaran kerana keperitan rakyat dalam tempoh itu adalah realiti dan gambaran bahawa parti itu amat penting untuk kembali sebagai penaung rakyat.

Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyingkap episod itu berkata, waktu itu ada yang mahu UMNO diharamkan, mahu UMNO dibubar di samping mengatakan UMNO sudah tidak relevan lagi.

”Apa-apa saja berkait dengan UMNO akan ditekan dan dihimpit, pemimpin UMNO yang tak mahu lompat disabit dakwaan mahkamah.

“Akaun UMNO dibeku, ahli-ahli UMNO ditolak dan macam-macam lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Walau bagaimanapun, Tengku Adnan memberitahu, episod itu tidak melunturkan perjuangan UMNO dan akan turut mempertahankan bahawa parti Melayu itu bukan rasis, elitis atau eksklusif.

Tetapi, beliau berkata, parti ini sebuah perjuangan maka acuannya perlu dipertahankan demi agama, bangsa dan tanah air.

”Jangan robekkan acuan yang kita ada kerana ke mana kita Melayu akan berada jika bumi di pijak ini kelak milik orang? Kerana itu, UMNO mesti terus dipelihara, hala tujunya mesti jelas dan perjuangannya mesti dihayati untuk diaplikasi.

“Maka Perhimpunan Agung UMNO 2020 adalah manifestasi kepada arah dan masa hadapan parti. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat – UMNO Dulu, Kini, Selamanya,” katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, UMNO sahaja tidak akan memenangkan orang Melayu dalam pilihan raya tetapi jika UMNO kukuh dengan bangsa Melayu sendiri bersatu maka sokongan itu akan datang daripada pelbagai pihak yang yakin dan percaya dengan kemampuan UMNO.

Justeru, beliau mengingatkan agar semua pihak perlu sedar bahawa sikap segelintir dalam parti sendiri telah menyebabkan parti ini cuba dirosakkan hanya kerana rasa tidak puas hati walaupun jasa UMNO terlalu banyak.

“Menjelang Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad ini, Tengku Adnan meminta jurucakap-jurucakap yang dipilih untuk membawa suara akar umbi pada nanti melaksanakan tanggungjawab yang diamanah.

“Sekarang ini tak perlulah pertahankan apa-apa kenyataan yang bercanggah dari keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO atas apa juga alasan walaupun bersifat peribadi. Tak elok dan tak mendatangkan kebaikan pun malah hanya mengundang kemudaratan.

Tambah beliau, untuk yang di luar parti pula, UMNO perlu tahu menilai – mana yang mesti diambil perhatian dan mana pula yang mesti diabaikan.

“Memang di luar UMNO itu bukan ahli UMNO tetapi tidak bermakna mereka semua menentang hala tuju dan perjuangan parti ini. Realitinya, UMNO masih diperlukan dan UMNO juga memerlukan sokongan daripada orang Melayu.

”Pemikiran terhadap UMNO bukan hanya perlu dilihat wujud dan relevan pada mata orang Melayu tetapi juga mesti kukuh dan kuat untuk menjadi penaung dan pembela semua rakyat,”katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.