RM15,000 lesap selepas akses pautan di SMS

34

23 MAC: Tindakan seorang pemuda mengemas kini akaun banknya menerusi pautan yang diterima melalui sistem pesanan ringkas (SMS), menjerat diri apabila wang simpanannya sebanyak RM15,000 lesap.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku beberapa hari lalu itu, mangsa yang berusia 22 tahun menerima satu SMS memintanya mengemas kini dan mengesahkan akaun bank miliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada mulanya mangsa tidak mengendahkan permintaan itu, namun selepas menerima SMS sama pada keesokan hari, dia bertindak mengakses pautan terbabit.

“Mangsa menekan dan mengakses pautan ini kerana yakin SMS diterima dari pihak bank.

“Mangsa terus mendaftar masuk ke laman web sebuah bank bagi mengemas kini dan mengaktifkan akaunnya.

“Setelah itu, mangsa terus mendaftar keluar tanpa membuat sebarang semakan semula ke atas akaun miliknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Wazir berkata, bagaimanapun empat hari kemudian, mangsa terkejut apabila mendapati terdapat tiga transaksi pemindahan wang dilakukan kepada individu tidak dikenali sebanyak RM15,000.

Katanya, mangsa kemudian menghubungi pihak bank dan memaklumkan kejadian itu serta sekatan akaun sudah dibuat.

“Mangsa tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, semalam untuk membuat laporan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.