Polis tidak akan dedah nama isu kartel – KPN

79

23 MAC: Biarpun polis sudah mengenal pasti anggota dan pegawai yang didakwa mewujudkan kartel bagi menguasai jawatan penting serta menjatuhkan pengurusan atasan, nama mereka tidak akan didedahkan buat masa ini kerana situasi masih terkawal.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata bagaimanapun, tindakan susulan akan diambil terhadap mereka.

“Saya mahu orang awam tahu, saya tahu apa yang mereka tahu mengenai kerja tidak elok dalam pasukan polis, perkara ini akan dibincang dengan Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani).

“Tiada masalah apabila bercita-cita untuk menjadi pengarah di Bukit Aman dan Ketua Polis Negara, namun yang tak sihat dan salah bila ada niat lain,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Tturut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias.

Abdul Hamid berkata, beliau memberi amaran kepada kumpulan individu terbabit supaya menghentikan elemen dan pergaulan dengan ketua dadah serta judi.

“Putuskan hubungan dengan mereka bagi menjalankan tugas secara selesa tanpa diugut pihak lain.

“Elakkan diri daripada terpaksa pakai baju jingga, iaitu baju reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana sejak dilantik Ketua Polis Negara pada 2019, hampir 100 anggota sudah pakai baju itu,” katanya.

Abdul Hamid menegaskan, dirinya bermaruah dan tindakan mendedahkan kewujudan kartel itu bukan untuk ‘test market’ bagi memastikan kontrak beliau sebagai Ketua Polis Negara yang berakhir Mei ini, disambung.

“Saya bukan nak ‘test market’ dan umpan. Saya tidak minta kontrak disambung, saya bukan manusia macam itu.

“Saya yakin dengan pegawai muda dan pelapis sedia ada. Perkara ini tiada kaitan politik dan saya ikhlas dedahkan perkara ini.

“Tidak salah saya cakap mengenai soal integriti. Jangan selepas ini ada yang mengatakan saya tidak bertanggungjawab buka pekung di khalayak ramai dan jangan ingat orang tidak tahu (wujud kartel dalam pasukan polis),” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, pendedahan kartel itu antara lain bagi menjelaskan mengenai situasi semasa yang berlaku dalam pasukan keselamatan itu.

“Kita ingat orang hormat kita tetapi di belakang orang ludah kita.

“Apa berlaku pada masa lampau, bagaimana orang takut untuk membuat laporan polis, kita tak nak wujudkan keadaan sebegitu, saya nak jadikan balai polis sebagai tempat perlindungan untuk buat aduan,” katanya.

Semalam, media melaporkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) bebas menyiasat dakwaan salah laku pegawai muda yang mewujudkan kartel terbabit.

Abdul Hamid dipetik berkata, beliau tidak akan membuat laporan kepada SPP, sebaliknya akan bersemuka dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memberi penjelasan lanjut. –  Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.