Pusat pendidikan di Johor punca satu kluster baharu

59

22 MAC: Sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Tenteram, Tanjung Puteri, Johor Bahru dikesan menjadi punca satu kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Jalan Tenteram.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja merupakan salah satu daripada 10 kluster baharu yang dikesan di nagara ini.

NOOR HISHAM

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-327804) dilaporkan positif COVID-19 pada 18 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 22 Mac 2021, sejumlah 38 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, daripada 10 kluster baharu yang dikenal pasti, lapan daripadanya melibatkan kluster berkaitan tempat kerja dan dua kluster melibatkan komuniti.

“Kluster tersebut adalah Taman Tunku, Kuala Lumpur; Tapak Bina Jalan Usahawan, Kuala Lumpur; Batu 22, Johor; Jalan Tenteram, Johor dan Jalan Kemajuan.

“Selain itu, turut dikenal pasti adalah Kluster Jalan Helang, Selangor; Jalan Gambang, Pahang; Industri Permata, Negeri Sembilan; Rajang, Sarawak dan Jalan Belimbing Johor,” katanya

Noor Hisham menjelaskan, sehingga kini, sebanyak 896 kluster telah ditamatkan termasuk 15 kluster yang tamat pada hari ini.

“Kluster tersebut adalah Kluster Jalan Bursa, Kluster Selambau, Kluster Jalan Air Hitam, Kluster Jun Heng, Kluster Ladang Tangkarason, Kluster Industri Serkam, Kluster Jalan Seroja, Kluster Jalan Telok Gong dan Kluster Jalan Klinik

“Selain itu, Kluster Plastik Subang, Kluster Tapak Bina Jalan Stadium, Kluster Tapak Bina Jalan Kota, Kluster Batu Dua Setengah, Kluster Perdana Tiga, dan Kluster Pasar Jalan Putra Kewajipan turut ditamatkan,” katanya.

Menurut Noor Hisham Abdullah, jumlah kluster aktif kini adalah sebanyak 411 kluster.

“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini 64 kluster. Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Usahawan (70 kes), Kluster Tanjung Suria (70 kes), dan Kluster Penjara Jalan Harapan (55 kes),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.