Gara-gara masalah bekalan air, lelaki maut ditetak

39

22 MAC : Seorang lelaki maut ditetak dengan sebilah parang di Ladang Malangking, Sabah, gara-gara salah faham ekoran masalah bekalan air di kawasan ladang tersebut semalam.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail di mana menurutnya, pergaduhan itu membabitkan dua pekerja berusia 30-an yang tinggal serumah ladang itu.

Menurutnya, siasatan awal pihak polis mendapati mangsa ditetak oleh suspek di bahagian perut menggunakan sebilah parang hingga cedera parah dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu.

“Kejadian tersebut disedari oleh beberapa penduduk sekitar selepas mangsa berlari keluar dari rumah itu dalam keadaan berlumuran darah. 

“Saksi kejadian melihat suspek melarikan diri dari pintu belakang rumah, namun tiada siapa yang berani menahannya (suspek) kerana sedang memegang parang.

“Siasatan mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan berlaku salah faham antara suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan air di rumah.

“Mangsa dikatakan sering membazir air dan isu itu timbul kerana kawasan perumahan mereka sering mengalami masalah bekalan air,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kinabatangan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatankira-kira pukul 10 malam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis sedang memburu suspek.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Richarles Edward di talian 089-561890 atau 014-3217050 untuk membantu siasatan,” katanya lagi dalam kenyataan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.