Tiga polis terlibat sindiket dadah antarabangsa ditahan

49

21 MAC: Seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan dua anggota pasukan berkenaan ditahan minggu lalu selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket dadah antarabangsa termasuk melakukan pemerasan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penangkapan itu hasil risikan dan siasatan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Menurut beliau, inspektor berusia 31 tahun itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara ditahan kira-kira jam 7 malam di IPK Johor, Selasa lalu.

“Pegawai berkenaan disyaki bersekongkol dengan sindiket dadah untuk pasaran negara jiran.

“Siasatan lanjut mendedahkan pegawai itu menjual semula rampasan dadah oleh polis kepada sindiket dadah untuk tujuan peribadi,” katanya menerusi sidang akhbar yang disiarkan di Facebook Polis Johor, hari ini.

Ayob Khan memberitahu, selain penahanan pegawai berkenaan, polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Alza dan wang tunai RM1,200 daripadanya.

Tambahnya, pegawai berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,

“Jika disabit kesalahan, suspek akan ditahan di Pusat pemulihan Akhlak (PPA) selama dua tahun dan perintah sekatan,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata dua anggota berpangkat Sub Inspektor dan Koperal pula ditahan pada Khamis lepas (18 Mac) dalam operasi oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Muar.

Menurut beliau, kedua-duanya yang masing-masing berumur 59 dan 35 tahun yang bertugas di IPD Muar itu disyak melakukan pemerasan terhadap seorang individu di Parit Jawa, Muar selepas individu terbabit ditahan kerana memiliki dadah jenis syabu.

“Bagi melindungi kegiatan dadah tersebut, dua anggota polis itu telah meminta wang sebanyak RM3,000 sebagai wang perlindungan, namun, mereka hanya menerima wang sebanyak RM2,800 daripada individu terbabit.

“Kedua-dua anggota polis terbabit disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan direman dua hari sehingga semalam sebelum diberi jaminan polis,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata tiga anggota polis dijatuhi hukuman dan perintah tahanan mengikut Seksyen 6(1) ADB LLPK 1985 selama dua tahun, masing-masing di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di Simpang Renggam, dekat Kluang dan Batu Gajah, Perak manakala seorang lagi dikenakan perintah sekatan mengikut Seksyen 6(3) akta yang sama selama dua tahun di PPA, Raub, Pahang.

Keempat-empat anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal berkenaan dikenakan tindakan selepas didapati membantu menguruskan kemasukan bekalan dadah ke lokap tahanan IPD Kota Tinggi, Disember tahun lepas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.