Selepas naik 2 hari berturut, kes COVID-19 kembali turun

15

21 MAC: Selepas dua hari berturut-turut mencatatkan kenaikan, kes harian baharu COVID-19 di negara ini kembali mencatatkan penurunan dengan 1,327 kes direkodkan hari ini, berbanding 1,671 kes semalam dan 1,576 kes kelmarin.

Namun, kes kematian masih lagi mencatatkan jumlah yang sama seperti semalam iaitu empat kematian setakat tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga hari ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 adalah 333,040 kes, manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 14,518 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,316 kes.

“Sebanyak 154 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 65 menerima bantuan alat pernafasan dan jumlah keseluruhan 1233 kematian setakat ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 1,247 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 317, 289 kes atau bersamaan dengan 95. 27 peratus.

“Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dengan 356 kes, diikuti Sarawak (276) dan Pulau Pinang (205),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.