Tidak pernah ada cadangan putus hubungan dengan UMNO Pusat

62

20 MAC: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, menegaskan UMNO negeri itu tidak pernah bercadang memutuskan hubungan dengan kepimpinan parti berkenaan di peringkat pusat. 

Shahidan berkata, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah dengan pucuk pimpinan parti itu, malah mempunyai hubungan akrab dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“UMNO Perlis akan terus berpegang kepada keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini, iaitu tidak membentuk sebarang kerjasama politik dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya dalam satu program, semalam.

Sebelum ini, Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) dalam satu temu bual bersama portal berita, didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO Perlis membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kepimpinan UMNO pusat,  sekiranya pihak berkenaan kekal dengan pendirian mengakhiri kerjasama bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Perhimpunan Agung UMNO, akhir bulan ini.

Ahli Parlimen Arau itu, berkata, UMNO Perlis juga akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan melanggar perjanjian dibuat parti itu ketika penubuhannya.

“Saya menyokong kerajaan PN kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, malah saya juga bekerjasama dengan PAS, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana saya juga adalah Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.