UMNO boleh menang 89 kerusi jika ketepikan soal ‘warlords’

190

20 MAC : UMNO mampu untuk memenangi 89 kerusi Parlimen dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15), jika ia mencapai kata sepakat dan mendapat sokongan parti sahabat.

Bekas Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata UMNO perlu membuat rumusan formula untuk menang dan mengetepikan soal individu, puak dan “warlords”.

Beliau berpendapat, partinya itu sedang melalui fasa dalam menentukan strategi, walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpinnya.

“Tidak ramai yg melihat secara terperinci prospek parti. Ramai terbelenggu dgn puak,warlords,sentimen peribadi dan agenda sendiri.

“Kita mendoakan UMNO beroleh formula yang menjamin kita mengekalkan semua 55 kerusi yang kita menangi. Kita juga harapkan muafakat yang boleh menambahkan 11 lagi kerusi yang kita tewas dalam pertandingan penjuru dan jika sepakat, kita menang mudah di situ.

“Selain itu, ada 23 lagi kerusi yang Umno cuma perlukan 5% ‘swing’ untuk menawannya dalam PRU15. Ertinya, terdapat 89 kerusi yang Umno punyai prospek untuk menang dengan syarat Umno dapat dokongan dan sepakat dengan parti sahabat,” katanya menerusi kenyataan beliau, lewat malam tadi.

Ahli Parlimen Ketereh itu bagaimanapun tidak menjelaskan siapakah “sahabat” yang dimaksudkannya.

Sebelum ini, Annuar berkata, UMNO, PAS dan PPBM dijangka mampu memenangi 149 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu, sekiranya tiada pertembungan tiga penjuru pada PRU15.

Malah, Annuar yakin isu perebutan kerusi Parlimen PRU15 antara parti tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh presidennya.

Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, Annuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Ketereh memberitahu UMNO bukanlah milik sesiapa namun milik orang Melayu Bumiputera dan umat Islam di negara ini.

Justeru, beliau menegaskan UMNO perlu memastikan sejarah kekalahan ketika PRU14 tidak lagi berulang di mana terdapat pemimpin yang terlalu yakin memang sehingga menyebabkan BN alami kekalahan yang teruk.

“Akhirnya ramai yg gagal dan tidak dapat menyumbang kerusi yang UMNO tandingi kecuali 55 wira yang berjaya dan memenangi pilihanraya. Sekarang kita dengar lagi lagu lagu PRU14.Menyanyi lagu untuk sedap didengar pemimpin.

” Yang berbeza pendapat di ejek,di fitnah,di gelar pengkhianat dan kononnya ejen parti lain. Kadang kadang teringin juga untuk mengetahui dari kawasan Parlimen mana mereka datang.Ingin juga meninjau apakah benar cara mereka akan memungkinkan mereka memenangkan UMNO di kawasan mereka.

“Kita mendoakan UMNO beroleh formula yang menjamin kita mengekalkan semua 55 kerusi yang kita menangi pada PRU-15. Kita juga mengharapkan muafakat yg boleh menambahkan 11 lagi kerusi yang kita tewas dalam pertandingan tiga penjuru dan jika sepakat,kita menang mudah di situ, “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.