UMNO Perlis tunggu keputusan PAU

91

19 MAC: UMNO Perlis akan menunggu keputusan ditetapkan kepimpinan pusat ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang berhubung kerjasama antara parti berkenaan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, buat masa kini , beliau dan UMNO Perlis akan menuruti apa yang diputuskan UMNO Pusat.

“Selagi kita masih dalam UMNO, kita akan patuh apa yang ditetapkan pucuk pimpinan parti,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal hari ini.

Beliau berkata demikan ketika diminta mengulas laporan media berhubung dakwaan beliau mengugut untuk memutuskan hubungan UMNO Perlis dengan kepimpinan pusat jika parti itu kekal mahu menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahli Parlimen Arau itu, turut dilaporkan berkata beliau tidak bimbang sekiranya tindakan diambil terhadap UMNO Perlis di bawah pimpinannya.

Shahidan berkata, laporan itu tidak benar dan beliau menegaskan ketetapan berhubung kerjasama antara parti berkenaan dengan Bersatu akan ditetapkan kepimpinan pusat ketika berlangsungnya PAU yang dijangka hujung bulan ini.

Katanya, jika keputusan sudah dibuat ketika PAU nanti, baharulah UMNO Perlis akan mengetahuinya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.