BP Plastics tutup satu bahagian kilang untuk proses sanitasi

37

19 MAC : BP Plastics Holding Bhd di 5A, Jalan Wawasan 2, Kawasan Perindustrian Sri Gading, Batu Pahat, Johor mengumumkan satu bahagian kilangnya ditutup bermula hari ini hingga 28 Mac bagi tujuan sanitasi.

Ini ekoran ujian semula antigen terhadap 24 pekerjanya menunjukkan simptom COVID-19 pada minggu ini di kilang anak syarikatnya, BP Plastics Sdn Bhd.

Menurut kenyataan syarikat tersebut kepada Bursa Saham, walaupun saringan awal penuh COVID-19 untuk semua pekerja asing pada Februari 2021 tidak menghasilkan sebarang kluster COVID-19, saringan pengawasan dan ujian semula kakitangan dengan simpton serta kontak rapat mereka mendapati 14 pekerja diuji positif COVID-19.

“Mereka yang diuji positif sudah dikuarantin dan diasingkan daripada pekerja lain.

“Sehubungan itu, satu bahagian di kilang itu ditutup bagi sanitasi, manakala bahagian dan kilang lain syarikat tidak terjejas.

“Pengurusan BP Plastics Holdings menegaskan bahawa kesihatan dan keselamatan pekerja serta pihak berkepentingan diberikan keutamaan tertinggi dan ia akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mengambil langkah perlindungan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan itu.

Tambah BP Plastics Holding, pengurusan tidak menjangkakan sebarang impak material daripada penutupan sementara bahagian kilang yang terjejas ke atas operasi dan prestasi kewangan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.