Annuar tidak tahu individu bocor maklumat mesyuarat MKT UMNO

125

19 MAC: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berpendapat pengumuman pemecatan ahli UMNO tanpa terlebih dahulu melalui proses yang ditetapkan dalam peraturan parti berkenaan tidak patut dilakukan.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ramai yang terkejut apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan dua ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan dipecat keahlian kerana dikatakan sering membocorkan maklumat mesyuarat MKT kepada pihak luar.

Menurutnya, spekulasi mula berlegar mengenai siapa ahli MKT berkenaan yang dikatakan seorang lelaki dan seorang wanita itu, namun beliau sendiri tidak dapat meneka siapakah lelaki dan wanita yang dikatakan itu, lebih-lebih lagi beliau tidak lagi menghadiri MKT sejak dipecat oleh Presiden daripada jawatan Setiausaha Agong BN.

“Menurut peraturan, kes disiplin perlu melalui proses pendengaran di hadapan Lembaga Disiplin. Bagi ahli MKT, ia boleh diadili oleh sidang MKT sendiri.

“Namun mengumumkan keputusan untuk memecat keahlian MKT, sebelum proses tertentu di laksanakan, adalah amat tidak bijak dan tidak kena, malah ia boleh memburukkan lagi nama parti,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini malam tadi.

Dalam masa sama, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, terdapat individu dlm MKT yang diketahui umum sering menulis dan bercakap tentang keputusan MKT.

“Tetapi saya yakin mereka itu tidak akan dipecat kerana sebab musabab yang semua orang tahu,” katanya.

Menurut Annuar, beliau hanya mampu berdoa agar kepimpinan kekal tenang dan aman.

“Kebimbangan saya ialah bila melihat parti semakin retak,semakin tak terarah dan sedang menuju ke nowhere (tiada hala tuju).

“Kita dilihat penuh bermasaalah, bertelagah dengan semua orang dan akhirnya berselisih sesama sendiri. Musuh sebenar politik tidak pula diserangi.

“Semakin hari semakin parah. Kesalahan besar dan perlanggaran disiplin yang serius, dibiarkan dan kes kecil pula yang dibesar-besarkan. Semoga tiada penganiayaan berlaku,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid baru-baru ini mendedahkan bahawa UMNO telah mengenal pasti dua ahlinya yang sering membocorkan segala maklumat setiap kali Mesyuarat MKT kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut sumber, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu jelas berang dengan sikap dua Ahli MT berkenaan kerana sanggup menyalurkan semua maklumat dan butiran setiap kali mesyuarat.

“Ahmad Zahid maklumkan dua MT iaitu masing-masing lelaki dan wanita dikenal pasti hasil siasatan dilakukan.

“UMNO tidak lagi boleh bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba menghancurkan parti. Presiden UMNO akan umumkan nama mereka tidak lama lagi serta tindakan yang mungkin diambil iaitu memecat keahlian mereka daripada UMNO,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.