UMNO tidak mungkin jalin kerjasama politik dengan Amanah

86

18 MAC: UMNO tidak mungkin akan menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipimpin oleh golongan hipokrit sampai bila-bila.

Berikutan itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menasihatkan pemimpin Amanah termasuk Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad supaya tidak memasang impian atau bermimpin di siang hari menjalinkan kerjasama politik UMNO, pada masa depan.

ASYRAH WAJDI

“Siapa yang nak kerjasama dengan Amanah?  Mereka ini ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Sudahlah menuduh UMNO macam-macam sedangkan mereka sendiri pun baru 22 bulan memerintah, beberapa pimpinan terkait dengan dakwaan rasuah seperti Setiausaha Politik Mat Sabu (Presiden Amanah Mohamad Sabu).

“Bukan itu sahaja mereka sendiri bersama DAP yang ternyata mempunyai pimpinan yang dikaitkan rasuah terowong dan banglo ditarik balik pendakwaan bahkan perbicaraan apabila naik berkuasa. Jadi usah bersifat hipokrit bak pepatah ‘kokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Asyraf Wajdi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Khalid semalam yang menegaskan Amanah hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan UMNO sekiranya parti itu berubah dan insaf termasuk perlu menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Tambah Khalid, kerjasama PAS dengan UMNO telah mendatangkan perbalahan kepada Pakatan Rakyat (PR) pada masa dahulu dan perkara serupa  boleh berlaku kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya isu kerjasama dengan UMNO tidak ditangani dengan baik. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.