Tiada lagi PKP, hanya sekatan di kawasan bersasar-PM

96

17 MAC : Kerajaan mengumumkan untuk tidak lagi melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara menyeluruh di seluruh negara

Sebaliknya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekatan itu akan ditumpukan secara bersasar bagi membendung penularan COVID-19.

“Tiada lagi pelaksanaan PKP secara menyeluruh, sebaliknya strategi kawalan penularan Covid-19 lebih bersasar berdasarkan sains dan data untuk mengurangkan impak negatif terhadap aktiviti ekonomi negara.

“Dengan mengambil kira pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kerajaan berkemungkinan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh merangkumi seluruh negara atau sesuatu negeri. Sebaliknya, kawalan pergerakan hanya dilaksanakan mengikut lokaliti dan secara tertumpu kepada kluster berkaitan sahaja,

“Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan SOP dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak COVID-19,” katanya dalam pengumuman khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), hari ini.

Dalam pada itu, bagi melindungi golongan pekerja, Muhyiddin meyatakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan melaksanakan inisiatif [email protected] yang mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif bagi para pekerja. 

Menurut beliau, syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program [email protected] akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan di mana pekerja-pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja-pekerja lain dengan meletakkan mereka di dalam “safe work bubble” sehingga kesemua pekerja kontak rapat disahkan selamat daripada COVID-19. 

“Sebagai galakan kepada syarikat untuk menyertai program yang bersifat sukarela ini, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan syarikat perkhidmatan berkaitan pengilangan ke atas perbelanjaan sewaan premis dan asrama pekerja. 

“Perbelanjaan yang layak mendapat potongan cukai tambahan ini dihadkan kepada 50 ribu ringgit bagi setiap syarikat yang berdaftar dengan MITI dan telah lulus audit pematuhan [email protected] Syarikat boleh mendaftar mulai 1 April 2021. 

“Selain itu, majikan yang membuat ujian pengesanan COVID-19 untuk pekerjanya dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian pengesanan COVID-19 bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021,” katanya.

Terdahulu,Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Muhyiddin ketika mengumumkan pakej baharu itu menjelaskan, ia membabitkan suntikan fiskal baharu kerajaan berjumlah RM11 bilion.

PEMERKASA akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan. –  Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.