Terlalu kuat berpolitik punca pembangunan Sabah ketinggalan

28

17 MAC: Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar Radin, mendedahkan Sabah menjadi negeri jauh ketinggalan dari arus pembangunan kerana ramai pemimpin terlalu kuat berpolitik.

Bung Moktar berkata, Sabah adalah negeri yang paling banyak mengadakan pilihan raya sehingga mengakibatkan banyak masa terbuang hanya untuk berpolitik.

“Di peringkat pusat kita sudah mengadakan pilihan raya sebanyak 14 kali, di Sarawak baru 11 kali tetapi kita di Sabah sudah 16 kali, masa yang dihabiskan untuk pilihan raya menyebabkan kita hilang fokus untuk membangunkan negeri.

“Sudah tiba masanya semua pihak sama ada pemimpin atau rakyat untuk sama-sama membangunkan Sabah tanpa mengira soal politik,” katanya ketika berucap di majlis makan malam bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Keningau, baru-baru ini.

Turut hadir Presiden STAR Jeffrey Kitingan, Menteri Belia dan Sukan Ellron Afred Angin dan Pembantu Menteri Kerja Raya Robert Tawik.

Bung yang juga timbalan ketua menteri berkata, rakyat di negeri itu perlu terus menyokong kerajaan GRS demi kestabilan politik seterusnya memacu proses pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan GRS bagi membantu rakyat serta membangunkan negeri sejak gabungan berkenaan mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah pada 29 Sept lalu.

“Antaranya, kerajaan telah membentangkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025, iaitu kerangka hala tuju dan strategi bagi terus memacu ekonomi negeri dan sosio-ekonomi rakyat.

“Sebaik sahaja kerajaan GRS mengambil alih pemerintahan sejak  29 Sept, kita berdepan realiti dan kedudukan ekonomi yang amat mencabar kerana itu kerajaan perlu bertindak segera untuk menangani penyusutan pertumbuhan sektor serta subsektor tertentu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.