Asyraf Wajdi: Rundingan PKR-UMNO sandiwara Anwar

41

17 MAC : UMNO masih kekal dengan pendirian tiada sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik PH sama ada PKR, DAP ataupun Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketua Pergerakan Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO merupakan sebuah parti yang bersistem dan berperaturan.

Dalam hal ini, beliau bersetuju dengan kenyataan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia baru-baru ini iaitu terserah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada mahu mencanang mahupun nak gempak kononnya ada rundingan dengan UMNO.

“Sebarang keputusan dasar termasuk melibatkan  perundingan kerjasama politik hanya sah dan terpakai jika mana-mana pihak menerima mandat untuk berunding daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO

“Rundingan kerjasama itu pula dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi dan disahkan di peringkat Perhimpunan Agong UMNO sebagaimana peruntukan Perlembagaan Parti,” katanya menerusi kenyatan di Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Pembangkang kononnya terdapat perbincangan antara UMNO dan PKR yang menunjukkan perkembangan positif untuk bekerjasama.

Anwar semalam ketika ditanya mengenai jika adanya kemungkinan kerjasama dengan UMNO, beliau tidak menafikan perkara tersebut namun masih terlalu awal kerana baharu sahaja perbincangan awal dilakukan antara beberapa pimpinan PKR dan pimpinan UMNO

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu sehingga hari ini, sebagai anggota tertinggi parti sama ada di peringkat pengurusan, Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi, tidak pernah sama sekali sebarang mandat diberikan kepada sesiapa untuk berunding dengan PKR mahupun DAP, jauh sekali memutuskan untuk bekerjasama dengan Anwar ataupun DAP.

“Justeru itu, sama ada Anwar berbohong ataupun beliau sendiri tertipu dengan tanggapannya sebagai rundingan kerjasama, yang sebenarnya hanyalah sekadar perbualan kosong yang tiada sebarang makna, kesan ataupun natijah.

“Lagipun ini bukan kali pertama Anwar bersandiwara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.