Pengambilan vaksin: Anwar perlu berlandaskan bukti sains

65

17 MAC : Sebagai seorang tokoh politik yang berpengalaman, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang tidak betul berkenaan vaksin COVID-19.

Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Anwar berhubung vaksinasi ketika sidang media, semalam.

Menurut beliau, perjalanan proses vaksinasi yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan pula didapati sangat teratur dan licin.

MOHD MAZRI

“Dua dos vaksinasi yang diamalkan adalah berdasarkan kepada rekomendasi sains akan keberkesanannya dan bukan atas dasar suka-suka mengikut kehendak pesakit atau ahli politik.

“Semua kaedah untuk memastikan keselamatan penerimaan telah diambil kira sesuai dengan logistik terkini yang mudah dan boleh digunakan oleh kementerian dan anggota sokongan di seluruh negara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, menerusi sidang media ‘tergempar’ Presiden PKR itu mempersoalkan apakah tidak boleh mereka yang telah ambil suntikan pertama tunggu dahulu sebelum ambil suntikan kedua.

“Habiskan suntikan pertama kepada rakyat terlebih dahulu dan apabila terima yang baharu, baru digunakan untuk suntikan kedua kerana suntikan pertama pun sudah dilihat berkesan,” katanya.

Anwar yang turut menerima suntikan vaksin COVID-19 semalam turut  mencadangkan supaya proses pendaftaran dan pengambilan vaksin itu dipermudahkan.

Justeru, Mohd Mazri menegaskan PAS merasakan sebagai tokoh politik yang berpengalaman, sewajarnya Anwar tidak mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam.

“Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu sewajarnya bercakap mengikut bukti sains dan membantu pihak Kementerian Kesihatan dengan memberi maklumat yang betul kepada rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.