Sidang Parlimen: Pembangkang ambil kesempatan heret rakyat

43

17 MAC : Keperluan dan waktu yang tepat bagi mengadakan sidang parlimen perlu diserahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dalam menentukannya.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri menyebut bahawa Parlimen boleh bersidang cuma ditangguhkan sehingga Oktober ini.

Menurut beliau, Parlimen berfungsi untuk membuat undang-undang, meminda undang-undang, meluluskan bajet, mengubah dasar dan sebagainya.

CHE ABDULLAH

“Jadi dalam suasana COVID-19 yang melanda negara pada hari ini, bajet sudah lulus walau cuba ditentang oleh pembangkang dengan begitu kuat dalam urusan bajet baru-baru ini.

“Dari segi meminda atau mengadakan undang-undang yang baru dalam suasana yang darurat ini yang kita faham bahawa Parlimen tidak lagi mengadakan undang-undang tetapi disebutkan sebagai Ordinan.

“Jadi itu perkara asas yang perlu kita faham kenapa perlu ada persidangan itu sendiri, makna fungsinya telah tidak ada lagi buat masa ini,” katanya, hari ini.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang media semalam dilihat secara terbuka terus mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak mengadakan persidangan Parlimen ketika tempoh darurat sehingga 1 Ogos depan yang menerima nasihat daripada Jemaah Menteri.

Anwar menerusi sidang media itu turut mendakwa bahawa kerajaan bertindak mendiamkan diri terhadap dakwaan 115 Ahli Parlimen telah menulis surat kepada Seri Paduka Baginda untuk menolak keputusan menggantung parlimen.

Namun, apabila ditanya media tentang bukti dakwaan itu, beliau tidak menjawabnya malah ‘topik’ ditukar dengan hanya memburukkan kerajaan kononnya sudah hilang majoriti.

Dalam pada itu, Che Abdullah yang juga merupakan PAS negeri Kelantan menegaskan itu bukan bermakna beliau tidak bersetuju untuk mengadakan Parlimen dan sebagainya.

“Apabila tiba masa yang sesuai dan kalau ada keperluan persidangan Parlimen itu boleh dibuat maka boleh dibuat,” katanya

Sementara itu, beliau turut memberi sindiran sinis apabila desakan daripada pihak pembangkang sangat cantik apabila menyoalkan kenapa Parlimen tidak bersidang yang boleh menarik emosi sokongan rakyat dan sebagainya.

“Kita ingat masa persidangan Parlimen dulu kalau sekadar celoteh kelakuan yang berlaku dalam Parlimen itu, rakyat pun jelek melihat bagaimana tingkah laku ahli Parlimen semasa persidangan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.