Bantuan tunai kepada Agensi pelancongan, pengusaha homestay

263

17 MAC : Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan tunai secara terus (one-off) sebanyak RM500 kepada golongan B40 yang telah kehilangan pendapatan dan juga bayaran tambahan sebanyak RM500 diberikan kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang berpendapatan RM1,000 dan ke bawah. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukan bagi 2.4 juta penerima bantuan itu yang akan melibatkan penerima berumur 21 hingga 60 tahun dan tidak melibatkan proses pendaftaran permohonan. 

“Pengesahan kehilangan pendapatan dan semakan silang akan dibuat melalui sistem LHDNM, KWSP dan PERKESO. Insha-Allah, kedua-dua bantuan khas ini akan dibayar mulai Jun 2021 ke akaun penerima masing-masing. 

“Untuk individu berstatus bankrap pula, Jabatan Insolvensi Malaysia akan memudahkan urusan mereka dengan pihak bank dalam menerima bantuan Kerajaan.

“Kelonggaran akan diberi untuk membuka akaun bank secara dalam talian (online) melalui permohonan e-mel kepada cawangan Jabatan Insolvensi yang mentadbir kes mereka. Sebarang bantuan tunai yang dikreditkan tidak akan mengalami sebarang potongan ansuran bulanan. 

“Seterusnya, kerajaan bersetuju untuk memanjangkan tempoh kuat kuasa perlindungan bagi ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual yang akan berakhir pada 31 Mac ini sehingga 30 Jun 2021.

“Jenis kontrak yang terlibat akan turut diluaskan bagi membantu rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontrak mereka,” kata Muhyiddin.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyatakan kerajaan bersetuju menyalurkan Geran Bantuan Khas secara ‘one-off’ sebanyak RM3,000 kepada lebih 5,000 agensi pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

 Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai secara ‘one-off’ sebanyak RM600 kepada pengusaha ‘homestay’ yang berdaftar dengan MOTAC dan kedua-dua bantuan ini  dijangkakan dapat memanfaatkan lebih 4,000 tuan rumah atau pengusaha Program Pengalaman Homestay.

“Industri pelancongan adalah antara sektor yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19. Bagi mengurangkan beban dan menyokong pemulihan sektor ini, kerajaan akan melanjutkan pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel sehingga 31 Disember 2021.

“Melanjutkan galakan cukai kepada syarikat pengendali pelancongan sehingga tahun taksiran 2022; membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan bulanan mulai 1 April hingga 31 Disember 2021 kepada syarikat industri pelancongan dan industri terpilih seperti panggung wayang dan spa.

“Memberi pengecualian duti hiburan ke atas bayaran kemasukan ke tempat hiburan seperti taman tema, persembahan pentas, acara sukan dan pertandingan serta tayangan filem pawagam di semua Wilayah Persekutuan,” katanya ketika mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga memperluas skop pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk meliputi perbelanjaan pembelian pakej pelancongan melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan turut memberi pengecualian levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi syarikat sektor pelancongan dan peruncitan yang terjejas untuk tempoh sehingga Jun 2021.

“Saya percaya, sedikit masa lagi apabila sudah ramai antara kita mengambil vaksin, kerajaan bersedia untuk membenarkan pergerakan rentas negeri secara berperingkat, malah mewujudkan laluan hijau khas bagi perjalanan sempadan membabitkan pengangkutan udara. Berikan sedikit masa dan ruang untuk pihak kerajaan meneliti segala risiko sebelum sesuatu keputusan diambil,” katanya.

Perdana Menteri berkata, untuk membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan dan agensi pengembaraan dan pelancongan.

“Pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi sehingga 30 Jun ini. Dengan pemanjangan tempoh diskaun ini, kerajaan akan menanggung,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.