Vaksin AstraZeneca tidak tingkatkan risiko darah beku

68

16 MAC: Semakan data keselamatan dilakukan firma farmaseutikal, AstraZeneca membuktikan vaksin COVID-19 keluaran mereka tidak meningkatkan risiko darah beku.

Semakan membabitkan lebih 17 juta penerima vaksin itu di Britain dan Kesatuan Eropah (EU) dilakukan selepas pihak berkuasa kesihatan beberapa negara menangguhkan penggunaannya kerana didakwa menyebabkan pembekuan darah.

“Satu kajian dan semakan teliti terhadap semua data keselamatan merangkumi penerima vaksin AstraZeneca di EU serta Britain tidak menunjukkan bukti peningkatan risiko.

“Ini termasuk bagi sebarang peringkat umur, jantina, kumpulan atau di negara tertentu,” kata firma itu.

Ketika ini, pihak berkuasa Ireland, Denmark, Norway, Iceland, Belanda dan Thailand menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca selepas wujud isu pembekuan darah.

Austria pula berhenti menggunakan satu penghantaran vaksin itu minggu lalu dan sedang menyiasat satu kematian yang didakwa akibat masalah pembekuan darah.

Agensi Perubatan Eropah (EMA), pula berkata tidak ada petanda mengaitkan kes darah beku dengan vaksin AstraZeneca, sama seperti disuarakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Jumaat lalu, malah badan dunia itu menyokong penggunaannya.

AstraZeneca berkata 15 kes darah beku dalam urat (Sindrom Deep Vein Trombosis atau DVT) dan 22 kes darah beku di paru-paru dilaporkan setakat ini, sama seperti kesan sampingan bagi vaksin COVID-19 berdaftar lain.

Firma itu mengatakan ujian tambahan sudah dan sedang dilakukan pihaknya serta pihak berkuasa kesihatan Eropah, dengan tiada ujian semula yang menunjukkan sebarang sebab untuk orang ramai berasa bimbang.

Laporan keselamatan bulanan itu akan disiarkan di laman EMA minggu berikutnya, umum firma itu.

Vaksin AstraZeneca yang dihasilkan dengan kerjasama Universiti Oxford dibenarkan untuk digunakan di EU dan banyak negara tetapi belum dibenarkan pengawal selia Amerika Syarikat (AS).

Firma itu sedang bersiap untuk mengemukakan permohonan kebenaran penggunaan kecemasan di AS dan mengharapkan data percubaan Tahap III di negara itu akan siap dalam beberapa minggu lagi.

Sementara itu, WHO mendapati vaksin AstraZeneca adalah yang paling murah dan paling banyak dihasilkan setakat ini, selain akan menjadi vaksin penting dalam program vaksinasi di banyak negara membangun.

Jurucakapnya, Margaret Harris, berkata vaksin itu ‘sangat baik’.

“Amat penting bagi kita memahami bahawa kita harus terus menggunakan vaksin AstraZeneca,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.