Top Glove didakwa gagal sediakan penginapan pekerja ikut standard ditetap

18

16 MAC: Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, hari ini terhadap 10 sepuluh pertuduhan gagal menyediakan penginapan sempurna kepada pekerja dan standard yang telah ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Top Glove yang diwakili pengarah syarikat membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyediakan penginapan yang tidak memenuhi keperluan Perakuan Penginapan daripada Ketua Pengarah Tenaga Kerja bagi pekerja asing seperti mana kehendak Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tasek Mutiara 2, Pusat Perdagangan Tasek Mutiara pada 26 November 2020.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24D(3) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 bagi setiap pertuduhan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Syakimah Ibrahim dan Zaihas Mohd Syakir Hasfar manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Chew Jee San.

Mahkamah menetapkan 28 April hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu , media pada Januari lalu melaporkan JTK Perak telah membuka sebanyak 10 kertas siasatan ke atas sebuah syarikat sarung tangan di kawasan perumahan Tasek yang didapati melanggar Akta 446.

Pengarahnya, Muhamad Fauzi Abd Ghani berkata, kesalahan yang dikesan ketika operasi di syarikat sarung tangan berkenaan antaranya tempat penginapan disediakan melebihi kapasiti serta jumlah bilik air tidak sepadan dengan jumlah pekerja yang menginap.

Operasi itu turut mendapati aspek kebersihan di tempat penginapan terbabit terabai dengan keadaan dalam rumah berselerak selain tempat penginapan terbabit tidak mempunyai surat perakuan penginapan dikeluarkan JTK.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.