Sultan Selangor murka tindakan mahu keluar Islam bila berdepan masalah

127

16 MAC: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, melahirkan rasa amat murka dengan sikap dan tingkah laku segelintir individu umat Islam di negara ini, khususnya di Selangor yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan aqidah dan keislaman mereka.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda juga menegaskan apa-apa juga iktikad (pernyataan dalam hati) atau percakapan atau perbuatan oleh mana-mana orang Islam yang berhasrat untuk keluar dari agama Islam, dikhuatiri boleh membawa kepada tergelincirnya akidah dan menyebabkan terkeluarnya seseorang itu dari agama Islam.

“Asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah S.W.T. dengan mengucap kalimah syahadah dan seorang Islam itu perlulah sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah S.W.T. yang berhak disembah dan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai pesuruh Allah S.W.T.

“Seseorang yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya adalah insan yang berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan aqidah sepanjang kehidupannya,” kata Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan dikongsi di laman Facebook Selangor Royale Office hari ini.

Justeru itu, Muhamad Munir Bani Sultan Sharafuddin bertitah, tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama Islam dan Allah S.W.T.

Katanya lagi, Sultan Selangor juga berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah S.W.T. kepada umat Islam, maka hendaklah umat Islam menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa (aman) atau kepayahan.

“Malah, betapa seriusnya kesalahan perbuatan murtad ini digambarkan di dalam bentuk hukuman mengikut hukum syara’ bagi seseorang yang murtad atau keluar dari agama Islam yang telah diberi peluang untuk bertaubat namun tidak mahu bertaubat, boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk mazhab imam Syafi’e,” titah baginda.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan umat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada akidah Islam dan tidak mudah terpesong dari akidah Islam sebenar.

Titah Baginda lagi, tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasa undang-undang adalah suatu tindakan dan proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang.

Baginda juga turut menitahkan agar semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah  selaras dengan prinsip-prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

“Kita sebagai umat Islam dan rakyat di negara ini khususnya di Selangor, seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosedur yang telah digariskan di bawah undang-undang. 

“Baginda menegaskan bahawa MAIS dan JAIS sentiasa terbuka untuk mendengar dan berbincang dengan umat Islam di negeri Selangor ini atas sebarang perkara mengenai hal ehwal Islam, sama ada yang bersifat umum atau peribadi.

“Akhir kata, Baginda juga menitahkan agar MAIS dan JAIS sentiasa memelihara dan mempertahankan Aqidah Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya,” titah baginda. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.