Ordinan Darurat bukan senjata politik pertahan kerajaan

44

16 MAC: Kerajaan tidak akan menggunakan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 sebagai senjata politik untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin politik terutama pembangkang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata tujuan utama kerajaan menguatkuasakan ordinan berkenaan adalah hanya untuk menangani penyebaran berita tidak benar berhubung COVID-19 dan proklamasi darurat.

Beliau berkata tujuan kerajaan mahu menangani isu berita palsu bukan untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau Perdana Menteri namun sebaliknya ia adalah untuk melindungi rakyat daripada tertipu dengan cerita tidak betul.

“Penguatkuasaan ordinan ini tiada kena mengena dengan kita mahu mempertahankan atau melindungi kerajaan.

“Ia tiada kena mengena tetapi hanya untuk melindungi rakyat kerana nanti yang tertipu, tak nak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera atau pejabat kesihatan daerah dan sebagainya kerana terpengaruh dengan dakwaan vaksin dari China mengandungi benda-benda haram dan sebagainya.

“Begitu juga dengan berita palsu kononnya vaksin dari negara lain pun tak selamat dan yang paling terkesan adalah rakyat di luar sana bukan kerajaan.

“Jadi untuk melindungi rakyat daripada tertipu maka kerajaan wujudkan ordinan berkaitan berita tidak benar,” katanya pada sidang media melancarkan kad laporan tahunan dan lambang kebesaran negara di kementeriannya di Putrajaya sebentar tadi.

Beliau berkata, demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa tujuan utama kerajaan menguatkuasakan ordinan berkenaan adalah untuk menyekat kebebasan rakyat dan pemimpin politik daripada mengkritik.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata sebagai sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi kerajaan sentiasa bersedia menerima kritikan dan teguran termasuk dari pemimpin dan parti pembangkang.

Dalam pada itu, Saifuddin juga menolak dakwaan kononnya Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar,  melompat parti kerana menerima tekanan daripada kerajaan.

Saifuddin berkata dakwaan berkenaan hanya mainan politik kerana kerajaan tidak pernah buat kerja macam itu untuk memaksa mana-mana Ahli Parlimen supaya menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Kita memang mempelawa dan mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai kerajaan. Bagaimanapun, ahli politik khususnya Ahli Parlimen seperti Dr Xavier dia tidak kata dia menyertai mana-mana parti tetapi beliau hanya keluar dari PKR menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan PN dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Itu adalah pendirian beliau dan saya hormatinya. Kita jangan terlalu tajam apabila membuat kenyataan kepada pemimpin politik lain kerana ada masanya kita berada dalam keadaan sama.

“Saya melihat apabila seseorang individu keluar parti lain dan masuk pembangkang. Itu adalah ok, bagus dan manis semua. Tetapi kalau ada individu keluar dari parti pembangkang dan masuk parti lain tidak ok dan gelaran digunakan terhadap ahli politik berkenaan adalah terlalu kuat.

“Dalam politik macam macam boleh berlaku jadi kita tidak perlu terlalu tajam mengkritik. Kalau rakyat nak undi atau menolak Ahli Parlimen berkenaan lagi apabila dia bertanding nanti terpulanglah tiada siapa boleh menghalangnya,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.