MOSTI lulus geran setengah juta perluas teknologi robotik

51

16 MAC: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan geran bernilai RM500,000 kepada dua syarikat tempatan bagi memperluaskan penggunaan teknologi robotik di pasar awam seluruh negara.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata geran di bawah Sandbox Inovasi dan Teknologi Nasional (NTIS) itu diberikan kepada Ideasparq Robotics Sdn Bhd dan Akar Indah Engineering Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat itu, katanya, turut terbabit dalam projek perintis aplikasi robotik dan kecerdasan buatan (AI) di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh.

Beliau berkata, empat teknologi dibangunkan dalam projek rintis di Pasar Ayam Amanjaya, iaitu robot untuk membersihkan lantai dan mengangkut barang ciptaan Ideasparq Robotics Sdn Bhd.

“Kita juga bangunkan robot memiliki sistem pengurusan sisa secara pintar ciptaan Akar Indah Engineering Sdn Bhd, selain perisian AI yang boleh mengesan pencerobohan dan keselamatan pasar dibangunkan ITXOTIC Sdn Bhd.

“Syarikat ini layak masuk ke dalam NTIS, dua daripadanya sudah pun layak menerima geran berjumlah RM500,000 setiap satu,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Aplikasi Robotik Kecerdasan Buatan di Pasar Ayam Amanjaya, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, Pasar Awam Seremban, Negeri Sembilan bakal menjadi pasar awam kedua di negara ini menerima aplikasi robotik terbabit yang dijangka bermula bulan depan.

Penggunaan teknologi sentuhan rendah itu, katanya, sangat bertepatan dengan keperluan perubahan cara hidup norma baharu ekoran penularan COVID-19.

“Kita sedang bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan teknologi sama di pasar lain.

“Robot ini boleh mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing, boleh meningkatkan kebersihan dan kecekapan di pasar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, penggunaan robot itu selaras dengan pendekatan kementerian untuk mewujudkan ekonomi sentuhan rendah dan tidak perlu sentuh kerana dikhuatiri terdedah kepada virus.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.