Perlu tindakan tegas pastikan kalimah Allah tidak diseleweng

36

14 MAC : Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) memandang serius isu penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Muslim berhubung keputusan oleh Mahkamah Tinggi tersebut. 

Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata, perlunya tindakan tegas agar tidak ada sebarang usaha yang boleh membawa kecenderungan bagi menyelewengkan kalimah Allah.

“Sekalipun, kelulusan penggunaan tersebut secara khusus kepada penganut Kristian dan untuk kalangan mereka sahaja namun tiada jaminan perkara ini boleh terkawal apatah lagi asasnya penggunaan kalimah Allah dalam kitab penerbitan agama mereka sudah tidak menepati maksud sebenar bagi kalimah Allah tersebut. 

“Justeru, perlunya satu tindakan serius untuk menilai kembali keputusan ini agar dibawa ke peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan kesucian kalimah Allah terpelihara dan tidak mengguris sensitiviti umat Islam di Malaysia ini,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini. 

DUPP juga menurut Mohd Nor menegaskan bahawa penggunaan kalimah ALLAH harus diletakkan pada tempatnya yang betul mengikut kehendak sebenar makna bagi kalimah Allah tersebut sebagaimana tafsiran dalam Islam bukan selainnya.

Jelasnya lagi, secara asasnya, penggunaan kalimah Allah sejak dahulu di Tanah Arab sudah pun digunapakai oleh masyarakat Arab sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W. Malah kalimah Allah secara umumnya merujuk kepada nama Tuhan yang disembah.

Namun, kata beliau, pihak Musyrikin Makkah menggunakannya secara menyeleweng dengan mempersekutukan ALLAH dan mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak perempuan iaitu Malaikat. 

“Begitu juga, dakwaan kalangan Yahudi dan Nasrani yang menetapkan kepercayaan dalam agama mereka bahawa Tuhan mempunyai anak. Dakwaan sebegini adalah menyeleweng ke atas penggunaan kalimah Allah dari maksudnya yang sebenarnya. 

“Meletakkan maksud yang salah bagi kalimah Allah adalah satu kesalahan di sisi Islam kerana mencemarkan kemuliaan pada lafaz dan makna bagi kalimah Allah itu sendiri. 

“Penyelewengan bagi kalimah ALLAH bukanlah satu perkara yang kecil malah ia merupakan kesalahan yang besar sehingga digambarkan oleh Allah akan kemarahan makhluk lain ke atas mereka yang menyeleweng tersebut,”katanya lagi.

Terdahulu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac lalu yang membenarkan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama mereka, untuk pendidikan dalam komuniti mereka mendapatkan reaksi hebat dari penganut Islam khususnya. 

Sehubungan itu, Mohd Nor memberitahu penggunaan kalimah Allah dalam buku penerbitan agama Kristian pastinya mamberikan maksud yang berbeza dengan tafsiran Islam berikutan dasar kepercayaan yang berbeza lagi bertentangan. 

“Sedangkan kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang membezakan tafsiran kalimah Allah dari sudut kepercayaan musyrikin, Kristian dan selainnya,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.