Saifuddin nafi ordinan darurat mahu sekat kebebasan media

73

13 MAC: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, menolak dakwaan penguatkuasaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 bagi isu berita tidak benar berkaitan berkaitan COVID-19 dan proklamasi darurat adalah untuk menyekat kebebasan bersuara dan media.

Saifuddin menjelaskan tuduhan itu adalah tidak benar sama sekali kerana ordinan berkenaan hanya merujuk kepada berita palsu berkaitan COVID-19 dan Proklamasi Darurat.

Berikutan itu, Saifuddin berkata kerajaan akan membezakan antara kritikan kepada kerajaan dan penyebaran berita palsu COVID-19 dan Proklamasi Darurat sebelum mengambil tindakan.

“Oleh itu, saya ingin jelaskan bahawa ordinan ini bukan untuk menyekat kebebasan bersuara dan media kerana ia merujuk kepada berita palsu dalam dua isu sahaja iaitu COVID-19 dan Proklamasi Darurat.

“Tindakan yang akan diambil hanya terhadap individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan dua perkara itu sahaja,” katanya ketika menghadiri majilis penyerahan sumbangan tablet kepada pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah kawasan Parlimen Indera Mahkota di Dewan Atabara, Indera Mahkota di Pahang hari ini.

Pada majlis itu, seramai 200 tablet membabitkan pelajar daripada golongan B40 menerima tablet bagi sesi pembelajaran terutama pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, penguatkuasaan ordinan itu bagi membendung penularan berita palsu mengenai COVID-19 dan Proklamasi Darurat demi ketenteraman dan kepentingan awam.

“Penguatkuasaan ordinan itu dipertanggungjawabkan kepada pegawai polis dan pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.