Rentas negeri masih belum boleh dibenarkan walau kes rendah – KKM

85

13 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan belum masanya untuk rentas negeri dibenarkan walaupun jumlah kes harian baharu COVID-19 menunjukkan penurunan ketika ini.

Menurut kenyataan KKM, sekatan berkenaan perlu berikutan beberapa kluster baharu dikesan adalah berpunca daripada kegiatan rentas negeri, sekali gus menunjukkan penularan pandemik berkenaan masih di tahap bahaya dan jangkitan amat mudah berlaku.

Sebagai contoh KKM berkata Kluster Bukit Bayas di Terengganu dan Kluster Pasai di Sarawak yang berlaku akibat aktiviti rentas negeri untuk menziarahi ahli keluarga meninggal dunia.

“Bermula dengan majlis tahlil yang dihadiri 45 ahli keluarga termasuk dari Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang akhirnya menjadi kluster apabila 15 daripada mereka disahkan positif COVID-19.

“Kontak rapat keluarga menjangkiti kontak rapat di tempat kerja dan kontak rapat sosial termasuk rakan joging serta rakan main golf.

“Kluster Bukit Bayas adalah kluster rentas negeri terbaharu di Terengganu membabitkan 48 kes positif setakat 12 Mac dan merebak di lima daerah,” kata KKM dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu turut memetik Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, yang memaklumkan kes sedemikian pernah berlaku di Besut, Terengganu, apabila ahli keluarga dari Kuantan dan Johor menziarahi nenek berusia 100 tahun yang sakit tua.

Ia menyebabkan lima ahli keluarga dikesan positif COVID-19 termasuk nenek yang uzur dan akhirnya meninggal dunia.

KKM menjelaskan, Kluster Pasai di Sarawak membabitkan aktiviti rentas negeri kes indeks dari Johor yang pulang ke Sibu bagi menghadiri pengebumian mendiang bapanya sebelum menyebar jangkitan ke rumah panjang.

“Lebih 2,600 dikesan positif dan kluster itu masih aktif dan merebak hingga generasi keenam. Dua kluster ini menjadi contoh mengapa pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya.

Jelas KKM, rentas negeri untuk kes kecemasan dibenarkan namun individu yang mahu berbuat demikian perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk melindungi ahli keluarga daripada risiko penularan COVID-19.

“Jika diri kita kurang sihat dan bergejala, langkah paling selamat untuk diri sendiri dan orang lain ialah tidak perlu rentas negeri.

“Walaupun jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan trend penurunan, belum tiba masanya kita merentas negeri kerana pandemik ini masih bahaya dan jangkitan sangat mudah berlaku,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.