Pusat asuhan, kilang pencetus dua kluster baharu

25

13 MAC: Pusat asuhan kanak-kanak dan kilang pembuatan makanan menjadi pencetus dua kluster tempat kerja masing-masing satu di Johor dan Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Jalan Mega Cemerlang di Johor adalah kluster tempat kerja melibatkan daerah Johor Bahru di Johor.

Beliau berkata kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-315601) dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

NOOR HISHAM

“Kluster ini melibatkan kontak keluarga kepada kes dan pekerja-pekerja sebuah kilang pembuatan makanan yang terletak di Jalan Mega 1/6, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusajaya.

“Sehingga 13 Mac 2021, sejumlah 54 individu telah disaring, di mana 19 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata Kluster Jalan Pria pula kluster tempat kerja melibatkan daerah Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur.

Beliau berkata kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-315782) dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Mac 2021 hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini melibatkan sebuah pusat asuhan yang terletak di Jalan Pria 4, Taman Maluri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sehingga 13 Mac 2021, sejumlah 37 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dengan pertambahan dua kluster baharu berkenaan jumlah kluster COVID-19 di Malaysia kin menjadi 1,234 kluster termasuk 808 kluster sudah tamat dan 426 masih aktif dengan kebolehjangkitan tinggi.

Beliau berkata 16 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Jalan Dua Belas, Kluster Lorong Sahabat, Kluster Laman Desaru, Kluster Jalan Bagan, Kluster Jalan Gombak, Kluster Kandi Sungai Besi, Kluster Jalan Pulai 55, Kluster Tapak Bina Jalan Lagoon dan Kluster Jalan Masjid Tanah.

Turu tamat hari ini adalah, Kluster Ladang Baturong, Kluster Tapak Bina Perdana Avenue, Kluster Tapak Bina Casuarina, Kluster Tapak Bina Damanlela, Kluster Jalan i-Park Satu, dan Kluster Jalan Lengkok Satu)

“Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini adalah 52 kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi ialah Kluster Tapak Bina Jalan Salak (73 kes), Kluster Lintang Bayan Lepas (56 kes), dan Kluster Tembok Tapah (49 kes),” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.