PKPD Asrama Imperial berakhir esok, dua PKPD dilanjut

13

13 MAC: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Imperial Garments, Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak akan ditamatkan mengikut jadual, esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat susulan Kementerian Kesihatan  (KKM) mengesahkan tiada kes baharu COVID-19 direkodkan dan situasi kluster terkawal, manakala kes positif serta kontak rapat sudah diasingkan.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 619 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 389 kes dilaporkan.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, pada 14 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan di Batang Padang dilanjutkan mulai 16 hingga 29 Mac ini.

Katanya, sehingga kini KKM melaksanakan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 556 kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM turut mengesahkan terdapat 562 lagi baki sampel saringan sedang menunggu keputusan serta masih berlaku penularan kes membabitkan tahanan di penjara itu,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.