Pas rela dituduh ‘pelacur’ demi perpaduan ummah

64

13  MAC: Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, menegaskan parti itu rela dituduh sebagai ‘pelacur’ dan parti kecil demi mempertahankan perpaduan ummah.

Beliau berkata, pihaknya juga rela dituduh demikian daripada menjadi ‘pelacur politik dan kuasa’ kerana rakus menggadai maruah agama serta bangsa untuk kepentingan peribadi.

Menurut Mohamed Sukri, tuduhan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, sebelum ini disifatkan bertujuan menginginkan UMNO meninggalkan PAS, malah supaya kepimpinan parti terbesar orang Melayu itu terperangkap dengan persepsi negatif.

MOHAMED SUKRI

“Apalah sangat tuduhan ini nak dibandingkan dengan realiti yang mereka berdua lakukan dalam politik. Tuduhan boleh jadi benar atau tidak, tetapi realiti pasti benar.

“Cacian memang pedih dan mengguris hati kami tetapi kesakitan ini kami tahan demi sebuah perpaduan lebih bermakna buat agama, bangsa dan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohamed Sukri berkata, beliau yakin kepimpinan dan ahli UMNO bijak dan matang daripada kedua-dua pemimpin tersebut, malah pihaknya percaya kedua-dua mereka adalah liabliti bagi politik Melayu Islam.

“Sudah masanya mereka berdua bergerak aktif di masjid dan surau membuat kebajikan untuk menghadapi hari-hari akhir kehidupan, ini pastinya lebih bermanfaat daripada perkataan merapu dan nyanyuk mereka dalam politik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri berkata, sekiranya kedua-dua individu terbabit menyangka cacian dilemparkan mereka akan melemahkan gagasan penyatuan ummah dibawa PAS, kemungkinan mereka sudah hilang ingatan atau tidak waras.

Jelasnya, pelbagai serangan yang telah diterima PAS sejak 69 tahun dalam persada politik.

Sepanjang 69 tahun berada dalam persada politik negara, katanya, PAS sudah berdepan pelbagai serangan, namun semakin kuat diserang, sah perjuangan parti itu bertambah kukuh dan rapat.

“InsyaAllah, kami akan terus maju dengan gagasan ini walau dicaci dan harapan kami agar tidak dicaci generasi mendatang kerana membiarkan agama, bangsa serta negara menjadi mangsa kerakusan, malah kebodohan beberapa pemimpin,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh dilaporkan melabel parti Islam itu sebagai ‘pelacur’, selain menggesa UMNO untuk menentangnya pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15) kerana beliau mendakwa sejak penubuhannya PAS tidak pernah berhenti menjadi pengacau kepada UMNO.

Tajuddin pula didakwa melabel PAS sebagai sebuah parti kecil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.