Naib Presiden PKR keluar parti, sokong PN

232

13 MAC: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Xavier Jayakumar, hari ini, mengumumkan keluar parti itu serta merta selepas 23 tahun menganggotainya.

Sehubungan keputusan itu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Langat  turut menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional dan akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen bebas.

Xaview berkata, tindakannya itu ekoran amat kecewa dengan beberapa perkara yang berlaku sejak tahun lalu.

“Terdapat parti politik ketika ini yang berbincang mengenai kemungkinan pilihan raya umum sedangkan ia tidak perlu dan tidak boleh dilaksanakan waktu ini.

“Keutamaan kita sekarang sepatutnya ialah, menyokong kerajaan menangani pandemik COVID-19, mencipta peluang pekerjaan dan mendapatkan dana bagi membina semula ekonomi.

“Sekurang-kurangnya perlukan masa 18 bulan untuk program vaksinasi selesai dan lebih dari dua tahun untuk ekonomi pulih,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu berkata, semua usaha kerajaan tersebut memerlukan sokongan bipartisan bagi memastikan ia dapat dijayakan dengan baik.

Katanya, rakyat inginkan kestabilan dan memulakan semula sektor ekonomi yang ‘sedang sakit’, jadi apa diperlukan adalah bekerjasama dan bukan melawan antara satu sama lain.

“Justeru itu, selepas menganggotai PKR sejak 1998, saya mengumumkan peletakan jawatan serta merta sebagai Naib Presiden dan Ahli PKR.

“Saya akan terus berkhidmat bagi kawasan saya dan menyokong usaha kerajaan sebagai Ahli Parlimen bebas. Saya yakin saya akan dapat tunaikan janji saya kepada rakyat Kuala Langat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.