Gerakan: Tidak guna konsep kerusi tradisi pada PRU-15

25

13 MAC: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak akan menggunakan konsep kerusi tradisi dalam parti itu ketika bertanding di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Nasional Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata sebagai gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN), parti itu akan menyerahkan kepada kepemimpinan PN untuk membuat keputusan berhubung calon paling sesuai diletakkan di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, pendirian Gerakan itu adalah kerana parti terbabit mahu memberi fokus kepada kemenangan PN.

“Dalam politik kena ada inovatif atau norma baharu untuk menyelesaikan masalah dan menang, termasuk memastikan Gerakan balik ke Parlimen serta DUN.

“Justeru, tidak ada kerusi tradisi kerana apa kita mahukan adalah meletakkan calon yang boleh menang, mana calon berpotensi menang dan ada kepimpinan kita letak.

“Sekiranya anggota parti ini mahu menjadi calon di Parlimen atau DUN pada PRU-15 nanti, kenalah buktikan anda mampu menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49 Gerakan hari ini yang disertai 623 perwakilan secara fizikal dan maya.

Dominic berkata, sebagai parti gabungan, Gerakan akan memastikan PN memenangi pilihan raya melalui pendekatan terbaik, termasuk lebih agresif mengadakan kempen.

Mengulas lanjut, katanya, memandangkan negara masih berdepan penularan COVID-19, kempen pilihan raya pada kali ini akan dijalankan secara dalam talian atau e-kempen, termasuk di media sosial dan elektronik.

Pada masa sama, Dominic mengingkatkan mana-mana anggota parti yang ingin menjadi calon perlu memperkukuhkan penguasaan bahasa, sama ada bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa Cina, bagi memastikan mereka mudah berinteraksi dengan pengundi, terutama melalui medium media sosial.

“Kali ini tidak boleh buat majlis makan atau bertemu penduduk dan pengundi secara bebas di kawasan, sebaliknya kena banyak berikteraksi secara atas talian, jadi kena mahir komunikasi.

“Walau apa pun, kita kena pastikan PN menang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.