Gerakan pilih PN kerana ideologi perjuangan sama

43

13 MAC: Keputusan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menjadi komponen gabungan di bawah Perikatan Nasional (PN) adalah kerana prestasi baik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ideologi perjuangan parti yang sama.

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata perkara itu, termasuk mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani COVID-19.

“Beliau(Muhyiddin) menjanjikan kerajaan mestilah berintegriti, bebas rasuah, tidak mencampuri penghakiman dan menawarkan banyak pakej untuk rakyat.

“Semua prestasi dan perjanjian ini adalah sama dengan ideologi Gerakan, jadi kita membuat keputusan menjadi parti komponen PN,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-49, hari ini.

Persidangan itu diadakan secara fizikal dan maya bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) ekoran COVID-19.

Acara itu turut dihadiri bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan beberapa kepimpinan tertinggi parti.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, selepas menerima surat pengesahan gabungan Gerakan ke dalam PN, Muhyiddin memberikan beberapa amanat kepada beliau dan kepimpinan parti.

Perdana Menteri, katanya, memaklumkan kehadiran Gerakan sebagai komponen PN penting dan mampu menguatkan parti kerajaan itu, memandangkannya sebuah gabungan pelbagai kaum, agama serta budaya.

Dominic berkata, Muhyiddin juga menjelaskan polisi PN mesti diutamakan dan dihulurkan kepada semua lapisan masyarakat.

“Beliau turut mengingatkan bahawa persiapan komponen PN, termasuk Gerakan untuk menghadapi pilihan raya mesti bermula dari sekarang untuk memastikan kemenangan parti kerana selepas tamat darurat dan COVID-19 mampu dikawal, beliau akan membubarkan Parlimen.

“Saya jelaskan kepada PM ini semua juga adalah matlamat Gerakan dan berharap kemenanga PN, sekali gus memastikan Gerakan dapat balik ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.