Gabungan Gerakan mampu perkukuh PN – Muhyiddin

35

13 MAC: Penyertaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan parti politik yang mewakili pelbagai kaum, agama dan kawasan di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berbekalkan sejarah dan pengalaman politik luas dimiliki Gerakan sejak penubuhannya pada tahun 1968, beliau yakin parti itu mampu menjadi rakan komponen yang signifikan kepada gabungan PN.

“Kerajaan mengalu-alukan gabungan Gerakan ke dalam PN kerana kita sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kepelbagaian dan keterangkuman masyarakat Malaysia.

“Malah, kemasukan parti Gerakan dapat memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik nasional yang menjadi lambang kepelbagaian masyarakat majmuk di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan perasmiannya pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-49 Gerakan secara dalam talian, hari ini.

Perdana Menteri berkata, hari ini turut melakar sejarah kerana buat julung kalinya Gerakan mengadakan persidangan sebagai komponen PN.

Mengulas lanjut, Muhyiddin mengingatkan perwakilan untuk mempersiapkan jentera parti di setiap peringkat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selain mengambil iktibar daripada pengalaman lepas, terutamanya ketika pilihan raya 2018.

Katanya, persiapan harus dimantapkan dengan sentiasa mendekati rakyat dan mendapat kepercayaan mereka.

“Turunlah bertemu dengan rakyat sekerap mungkin dan sampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Banyak bantuan disediakan kerajaan kepada rakyat menerusi pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah dilaksanakan, justeru saudara dan saudari boleh menjadi penyalur maklumat serta pemudahcara untuk memastikan setiap bantuan ini sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.