Empat lagi MP PKR dikatakan bakal lompat parti sokong PH

139

13 MAC: Empat daripada tujuh atau lapan lagi ahli Parlimen (MP) pembangkang yang didakwa bakal melompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat dikatakan merupakan ahli Parlimen daripada PKR.

Bagaimanapun, sumber mendedahkan semua ahli Parlimen berkenaan bukan dari Selangor sebaliknya dari beberapa negeri lain.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat mendedahkan nama ahli Parlimen berkenaan, namun apa yang pasti mereka bukan dari negeri Selangor.

“Saya difahamkan semua ahli Parlimen berkenaan akan membuat pengumuman mengenai kedudukan mereka tidak lama lagi,” katanya ketika dihubung, sebentar tadi.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa mendedahkan tujuh hingga lapan lagi Ahli Parlimen bakal mengikut jejak langkah bekas Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar, meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan akan menyatakan sokongan kepada PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau difahamkan seramai tujuh hingga lapan orang lagi ‘kawannya’ memberi pertunjuk dan bersedia menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.

Annuar yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, berkata kebanyakan Ahli Parlimen berkenaan mengambil keputusan untuk berbuat demikian berikutan prestasi cemerlang ditunjukkan kerajaan PN khususnya menangani isu COVID-19.

“Saya difahamkan selain daripada Dr Xavier, ada lagi tujuh atau lapan orang lagi kawan-kawan saya ahli Parlimen yang ada memberi indikasi bersedia menyokong (kerajaan).

“Yang penting, kalau kerajaan kita ini berprestasi, maka akan ramai bersedia menyokong. Sebab itu tugas kerajaan sekarang adalah terus fokus dengan melaksanakan tanggungjawab yang ada termasuk tentang COVID-19, pemulihan ekonomi, perpaduan kaum serta kestabilan politiknya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.