Hadi: Boleh guna perkataan Allah tetapi perlu ada sempadan

80

12 MAC: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaklumkan tiada larangan kepada sesiapa untuk menggunakan perkataan Allah sama ada diucap atau ditulis namun perlu ada sempadan penggunaannya.

Beliau berkata, pada dasarnya penggunaan perkataan Allah tidak boleh dilarang sama ada kepada umat Islam, penganut agama lain, tidak beragama, tidak percaya kepada tuhan, cerdik pandai, buta huruf, termasuk mereka yang tidak siuman.

Sememangnya, katanya, terdapat agama lain, selain Islam menggunakan perkataan Allah, seperti contohnya masyarakat Arab yang bukan Islam.

“Namun, penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut agama yang mempercayai Tuhan selain Allah tidak menepati maksud sebenar kalimah berkenaan.

“Perkara ini kerana maksud Allah dalam bahasa Arab bukan semata-mata Tuhan, tetapi mempunyai makna lebih luas yang tidak dapat diterjemah secara tepat ke dalam bahasa lain,” katanya menerusi Catatan Minda Presiden di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, walaupun perkataan itu tidak terhad kepada kumpulan individu tertentu, tujuan penggunaannya perlu dilihat sebaik mungkin, bukan sekadar melafazkan dan mengungkapkannya.

Abdul Hadi berkata, jika perkataan itu mahu digunakan dengan tujuan untuk mengelirukan atau menghina umat Islam, harus ada sempadan dan hukumnya.

“Sebagai contoh, andai kata perkataan Allah dijadikan jenama kasut, diletakkan di kaki dan dipijak, adakah atas nama kebebasan, pihak berkaitan boleh membenarkan perkara ini berlaku?

“Bagaimana pula makanan yang diharamkan terhadap penganut Islam seperti daging babi, diletakkan namanya dengan perkataan ikan halal, adakah ini boleh dibenarkan atas nama kebebasan?,” soalnya.

Pada masa sama, Abdul Hadi berkata, Islam melarang umatnya menyentuh sensitiviti penganut agama lain sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Dalam hal ini, semua pihak perlu meletakkan kebijaksanaan masing-masing dan menjaga sensitiviti dalam konteks masyarakat majmuk mengikut sempadannya yang sebenar dan secara saksama,” kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu.

Pada Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, selain tiga perkataanm iaitu solat, Kaabah dan Baitullah Arab dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.