Pakistan sekat aplikasi Tik Tok untuk kali kedua

56

12 MAC : Aplikasi perkongsian video TikTok disekat untuk kali kedua di Pakistan selepas mahkamah di negara tersebut mengarahkan platform itu ditutup kerana kandungan tidak beretika dan bermoral.

Mahkamah Tinggi Peshawar memerintahkan aplikasi itu dihentikan segera kerana video bertentangan dengan standard etika dan nilai moral Pakistan.

Berikutan perintah mahkamah, Lembaga Telekomunikasi Pakistan (PTA) mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan untuk segera menyekat akses aplikasi TikTok.

Penasihat Perdana Menteri, Imran Khan sebelum ini menyalahkan aplikasi tersebut yang didakwanya mengeksploitasi dan seksualisasi wanita muda.

Aplikasi ini tidak dapat diakses di Pakistan bermula semalam.

Aplikasi milik China yang popular dalam kalangan anak muda Pakistan itu telah disekat tahun lalu atas alasan yang sama oleh agensi telekomunikasi negara itu.

Amerika Syarikat (AS) menuduh TikTok berisiko untuk keselamatan negara, tetapi di Pakistan selaku sekutu rapat China, tiada kebimbangan privasi yang ditimbulkan.

India pula sudah melarang aplikasi itu bersama dengan puluhan platform mudah alih China yang lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.