Kes COVID-19 di Tokyo meningkat ketika kerajaan mahu tamat darurat

23

12 MAC: Dalam sasarannya untuk menamatkan darurat pada 21 Mac ini, Tokyo dilaporkan mencatatkan peningkatan kes jangkitan COVID-19, sekali gus menimbulkan persoalan berhubung usaha terbabit.

Menteri Kesihatan Jepun, Norihisa Tamura, berkata pada minggu lalu, Jepun melanjutkan pengisytiharan darurat di Tokyo dan tiga wilayah selama 14 hari, berikutan pengurangan kes tidak mencapai sasaran, malah varian baharu pandemik itu mula menimbulkan ancaman.

Tamura melalui laporan Kyodo News berkata, keputusan sama ada darurat dapat ditamatkan di Tokyo yang dihuni 30 peratus penduduk Jepun seperti jadual ditetapkan sebelum ini akan dibuat selepas mendapatkan pandangan pakar.

Purata kes harian baharu di Tokyo bagi tempoh tujuh hari kekal lebih 200 kes sejak akhir bulan lalu dengan peningkatan melebihi 300 kes untuk hari kedua berturut-turut.

Sekatan seperti waktu perniagaan lebih pendek untuk restoran dan bar turut membantu mengurangkan kes baharu di Tokyo yang mencatatkan 2,520 kes pada 7 Januari lalu.

Bagaimanapun jumlah itu jauh daripada sasaran Gabenor Tokyo, Yuriko Koike untuk menurunkan kes harian purata 70 peratus dalam tempoh tujuh hari berbanding minggu sebelumnya.

Jepun, termasuk Tokyo berlumba-lumba untuk mengawal kes COVID-19 dan program vaksinasi berjalan dengan baik ketika Tokyo bersiap untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas yang bermula 23 Julai depan.

Kempen vaksinasi COVID-19 Jepun bermula bulan lalu, namun bergerak perlahan berikutan kekurangan bekalan.

Negara itu setakat ini mencatatkan kira-kira 441,000 kes COVID-19 dan 8,400 kematian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.