Sebar Berita Palsu Di Luar Negara Juga Dikena Tindakan

24

12 MAC : Individu yang melakukan kesalahan menyebarkan berita palsu berkenaan COVID-19 dan Proklamasi darurat di mana-mana negara di seluruh dunia boleh dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) (No 2) 2021 yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Parlimen dan Undang-undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata undang-undang di bawah Seksyen 3 Ordinan itu bukan sahaja tertakluk pada rakyat di negara ini, malah individu yang bukan warganegara Malaysia juga boleh diambil tindakan.

TAKIYUDDIN

“Satu orang buat berita palsu COVID-19 dan Proklamasi Darurat Malaysia sama ada warganegara atau tidak, (walaupun) dibuat di luar Malaysia undang-undang ini tertakluk padanya dan boleh diambil tindakan.

“Cuma kesalahan tersebut mengenai Malaysia sahaja atau orang yang terjejas dengan pelakukan berita tidak benar itu warganegara Malaysia.

“Jadinya, kalau orang Malaysia kata (buat berita tak benar) dekat warganegara lain, undang-undang ini tak tertakluk penguatkuasaannya. Sama juga kalau warganegara luar sebut di Malaysia berkaitan warganegara luar, ia tidak dilindungi undang-undang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa perlu) (No 2) 2021 di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin ketika menerangkan perincian akta yang penting, beliau menjelaskan bahawa Seksyen 4 ordinan itu kini menjelaskan orang yang menawarkan, menerbitkan berita tidak benar atau menerbitkan penerbitan mengandungi berita tidak benar boleh dikenakan tindakan.

Beliau berkata, kesalahan itu jika disabitkan oleh Mahkamah Sesyen boleh didenda tidak melebihi RM100, 000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua duanya sekali jika sabit kesalahan selain boleh didenda RM1, 000 sehari jika kesalahan itu dilakukan berterusan selepas sabitan.

“Jika mahkamah telah memerintahkan mana-mana orang disabitkan kesalahan itu dan mereka atau dia tidak mematuhi perintah dibuat mahkamah juga telah lakukan kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM50, 000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali (jika sabit kesalahan),” katanya.

Takiyuddin turut berkata, Seksyen 5 dalam ordinan itu dipinda bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana orang yang secara langsung atau tidak langsung memberi bantuan kewangan dengan niat bantuan kewangan itu digunakan atau mengetahui dengan bantuan itu digunakan bagi kesalahan di bawah ordinan ini.

Menurut beliau, mana-mana individu mahupun syarikat didapati bersalah akan didenda tidak melebihi RM500, 000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun arau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Bagi mereka yang terjejas atau difitnah oleh penerbitan boleh pergi ke mahkamah dengan menggunakan borang A dan setelah dipertimbangkan dan didapati berita itu tidak benar patut dihapuskan oleh mahkamah boleh buat perintah itu pada borang B.

“Di pihak mahkamah, mana-mana orang tidak mematuhi perintah mahkamah untuk menghapuskan berita itu boleh didenda sehingga RM100, 000 (jika sabit kesalahan),” katanya.

Sementara itu, bagi Seksyen 6 ordianan itu pula menjadi kewajipan mana-mana individu di bawah seliaannya menerbitkan berita tidak benar perlu dihapuskan dalam masa 24 jam selepas diberi arahan oleh pihak polis atau penguat kuasa.

Tambahnya, jika tidak, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100, 000 dan kesalahan berterusan tidak lebih daripada RM3,000 sehari setiap hari dari disabitkan kesalahan.

“Bagi mereka yang disuruh hapuskan dalam masa 24 jam tetapi tak puas hati boleh rujuk kes mereka di Mahkamah Tinggi untuk lakukan semakan itu.

“Walaupun mereka tak puas hati namun berita itu perlu dipadamkan terlebih dahulu atau tidak mereka akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.