Dikompaun RM10,000 tak daftar MySejahtera masuk kedai makan

103

12 MAC: Seorang lelaki dikenakan kompaun kerana tidak mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejatera atau buku pendaftaran di sebuah kedai makan dan boleh dikompaun sehingga RM10,000, semalam.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata tindakan terbabit dikenakan dalam pemeriksaan pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai makan di Bukit Jalil, semalam.

“Dalam pemeriksaan jam 6.55 petang itu, anggota pasukan pematuhan mengeluarkan kompaun ke atas seorang individu atas kesalahan tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar yang disediakan pekedai.

“Tindakan ini seperti mana diperuntukkan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, iaitu mana-mana individu yang melanggar SOP ditetapkan boleh dikompaun sebanyak RM10,000,” katanya.

Mohamed Mokhsein berkata, dakwaan mengatakan individu yang dikompaun itu sudah mendaftarkan diri melalui mana-mana saluran iaitu MySejahtera atau buku pendaftaran disediakan pekedai adalah tidak benar.

Terdahulu, tular di media sosial satu gambar menunjukkan surat kompaun dikeluarkan pihak polis yang dipercayai kompaun mencecah RM10,000 pertama dikeluarkan polis atas kesalahan kerana melanggar SOP PKPB.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata individu yang dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikenakan kompaun sehingga RM10,000.

Katanya, langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam semalam.

Menurut beliau, nilai kompaun kerana melanggar SOP ditetapkan sehingga RM10,000, namun ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetapkan nilai sebenar kompaun yang dikenakan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.