Sistem Gred Air Kebangsaan kurangkan kos rawatan air

29

11 MAC: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang membangunkan sistem Gred Air Kebangsaan bagi mengurangkan kos rawatan air yang perlu ditanggung oleh setiap negeri.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, inisiatif berkenaan juga dapat menjamin sistem perkhidmatan dan pembekalan sumber air bersih yang berterusan, sekali gus menjana pendapatan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim memberi jaminan bahawa sistem Gred Air Kebangsaan tidak akan meningkatkan kos harga yang perlu ditanggung oleh pengguna.

“Sistem gred air mentah kita sekarang guna satu harga. Jadi yang kita cadangkan, supaya negeri-negeri tersebut mendapat hasil yang banyak daripada sumber air.

“Sekarang ini kita ada empat gred air mentah, satu ini (gred yang baik) dijual pada harga yang sangat mahal (dengan pembangunan sistem) sebab kos rawatannya akan lebih murah banding dengan gred tiga dan empat.

“Sekarang ini hanya ada satu harga. Selain menjadi sumber pendapatan kepada untuk negeri-negeri, ia dapat melestarikan alam sekitar,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama KASA di Putrajaya hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Mengulas lanjut beliau berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pahang dan Johor, dan menerima maklum balas yang positif.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata usaha membangunkan sistem Gred Air Kebangsaan juga boleh dilaksanakan sekiranya setiap negeri mengawal aktiviti penebangan hutan.

“Hutan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan kita lihat negeri-negeri telah mematuhi had penebangan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian.

“Jadi had tebangan itu dipatuhi dan undang-undang diperkemaskan, dan menerusi usaha tersebut pembangunan akan lebih lestari,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sektor air negara memerlukan anjakan serta pendekatan baharu setanding dengan sektor utiliti lain.

Tuan Ibrahim menambah, sektor air perlu berkembang menjadi pemangkin yang kukuh untuk merangsang pulangan pelaburan kompetitif.

Ia termasuk sejumlah RM280 bilion dana pelaburan diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur demi kelangsungan bekalan air jangka panjang di bawah Agenda Transformasi Sektor Air Negara 2040.

Sementara itu, Zaini menambah menerusi inisiatif Gred Air Kebangsaan beberapa negeri dijangka mampu menjana pendapatan sehingga RM200 juta setahun menerusi penjualan air mentah bersih.

“Cara kita nak pastikan kerajaan negeri membangunkan negeri tersebut, selain daripada sumber air mentah, ialah dengan denai. Maknanya dengan buat denai, orang dapat jadikan sumber pembangunan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.