Polis bongkar taktik sembunyi dadah dalam sejadah

28

11 MAC: Polis bongkar taktik licik sindiket penyeludupan sembunyikan dadah dalam sejadah untuk seludup bahan terlarang berkenaan dengan menggunakan khidmat syarikat kurier ke luar negara.

Kegiatan licik sindiket penyeludupan berkenaan terbongkar selepas polis merampas dadah dianggarkan bernilai RM4.9 juta dan menahan 13 individu, termasuk dalang utamanya dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, Sabtu dan Isnin lalu.

Berikutan itu Bahagian Risikan Antarabangsa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, melakukan serbuan dilakukan ke atas sebuah syarikat kurier di Cheras, Kuala Lumpur, jam 2.30 petang Sabtu lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain, berkata hasil pemeriksaan ke atas lima kotak yang cuba dikirim seorang lelaki ke Indonesia dan diisytiharkan mengandungi sejadah menemui ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 4.2 kilogram (kg).

Beliau berkata, susulan itu polis melakukan lapan serbuan pada Isnin lalu di sekitar ibu negara dan Selangor dan menahan 13 suspek berusia 18 hingga 46 tahun, termasuk seorang lelaki warga Taiwan dan seorang wanita tempatan.

“Lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga dalang utama sindiket ini berjaya ditahan, selain polis merampas pelbagai dadah termasuk bahan kimia serta peralatan dipercayai untuk memproses dadah.

“Antara dadah dirampas adalah ketamin, syabu, pil erimin 5 dan pil ecstasy seberat 96.1kg yang boleh dibekalkan kepada 337,787 penagih. Turut dirampas tiga kenderaan, wang tunai RM3,200 dan beberapa barangan kemas dianggarkan bernilai RM121,200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan mendapati dalang utama kes itu adalah individu yang dikehendaki pihak berkuasa Taiwan atas kesalahan mencuri dan cubaan membunuh.

“Ujian saringan air kencing mendapati 12 daripada 13 suspek yang ditahan positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine.

“Selain itu, 10 daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah lalu dan kes berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek kini direman tujuh hari sehingga 14 Mac ini,” katanya.

Semalam, media melaporkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan cuba menyeludup dadah ke luar negara antaranya Indonesia dan Korea Selatan menggunakan perkhidmatan kurier dalam bungkusan mengandungi peralatan keagamaan.

Difahamkan, peralatan keagamaan itu digunakan mengikut majoriti penganut agama di negara berkenaan dan dadah terbabit dibungkus bersama bagi mengelak dikesan.

Bagi ketamin untuk diseludup ke Indonesia, sindiket itu akan membungkusnya bersama sejadah dan al-Quran, manakala untuk ke Korea Selatan pula dadah akan disorok pada peralatan keagamaan Buddha.

Selain Korea Selatan dan Indonesia, sindiket itu turut menyeludup ketamin ke beberapa negara lain termasuk Singapura, Filipina dan New Zealand.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.