Penyebar berita palsu COVID-19, proklamasi darurat bakal didenda RM100,000

104

11 MAC: Mereka yang menawarkan, menerbitkan, menghasilkan, menyiar atau menyebarkan berita tidak benar berkaitan COVID-19 dan proklamasi darurat boleh didenda RM100,000, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, berkuat kuasa esok.

Mereka yang didapati menyediakan bantuan kewangan dan membayar untuk penghasilan berita palsu itu pula akan berdepan hukuman lebih berat, dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Itu adalah antara kandungan Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 11 Mac 2021 yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan disiarkan menerusi portal e-Warta Persekutuan, Pejabat Peguam Negara hari ini.

Penguatkuasaan hukuman baharu berkenaan dibuat mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No 2) 2021 diwartakan hari ini dan antara lain menyatakan berita atau maklumat yang “keseluruhannya atau sebahagiannya adalah ‘berita tidak benar’ menggambarkan situasi COVID-19 atau proklamasi darurat”.

Kesalahan berkenaan merangkumi semua bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain boleh dipertimbangkan di bawah undang-undang berkenaan.

Antara kesalahan yang disenaraikan dalam warta berkenaan adalah mengadakan, menawarkan, menerbit berita tidak benar atau penerbitan mengandungi berita tidak benar.

“Mana-mana orang yang melalui apa-apa cara, dengan niat menyebabkan atau kemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam, dengan menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebabkan apa-apa berita tidak benar adalah melakukan satu kesalahan.

“Apabila disabitkan kesalahan oleh mahkamah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali, dalam satu kesalahan berulang pula boleh didenda tidak lebih RM1,000 sehari selama kesalahan berkenaan berterusan,” kata warta berkenaan.

Menurut warta berkenaan, mahkamah juga boleh sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman dinyatakan dalam subseksyen (1) memerintahkan orang yang disabitkan atas kesalahan untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas oleh pelakuan itu mengikut cara ditentukan oleh mahkamah.

Katanya, mana-mana orang yang disabitkan tidak mematuhi satu perintah dibuat di bawah subseksyen (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebih setahun.

“Jika gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. Undang-undang itu meliputi semua bentuk media, seperti rencana, visual atau rakaman audio “yang boleh menggambarkan perkataan atau idea”.

“Peraturan berkenaan juga terpakai kepada semua individu tanpa mengira status kerakyatan atau kesalahan itu dibuat di luar negara,” kata warta berkenaan.

Warta berkenaan juga menjelaskan individu yang memiliki atau mempunyai kawalan ke atas bahan yang dianggap mengandungi berita palsu perlu menghapuskan penerbitan itu dalam 24 jam daripada masa arahan diberikan polis atau pegawai diberi kuasa.

“Kegagalan berbuat demikian, mereka boleh didenda tidak lebih RM100,000 dengan RM3,000 ditambah bagi setiap hari arahan itu tidak dipatuhi.

“Polis atau pegawai diberi kuasa boleh diarahkan Mahkamah Sesyen untuk mengambil langkah perlu bagi menghapuskan penerbitan yang mengandungi berita palsu atas permohonan pendakwa raya.

“Mana-mana individu yang terjejas dengan penerbitan atau penyebaran berita palsu boleh membuat permohonan ex parte kepada Mahkamah Sesyen untuk arahan menghapuskannya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.