Operasi JPJ kesan pemandu letak objek pada casis treler

68

11 MAC: Operasi Halangan yang julung kali diadakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyaksikan sebanyak 46 notis saman dikeluarkan ke atas pemandu lori dan treler yang meletakkan objek di bahagian casis sehingga membahayakan pengguna lebuh raya.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib, berkata saman itu dikeluarkan ketika operasi terbabit diadakan di Plaza Tol Bukit Raja Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang, semalam.

NAZLI

Operasi sama, katanya, akan diadakan secara berkala mengikut lokasi ditetapkan.

“Bahan seperti kayu atau besi yang digunakan untuk menyendal barangan dibawa pemandu ini sepatutnya diletakkan di dalam kenderaan, tetapi mereka mahu senangkan kerja dengan meletakkannya di bawah lori dan treler.

“Tindakan mereka ini boleh membahayakan pengguna kerana kayu dan besi yang diletakkan di bawah kenderaan itu mudah jatuh,” katanya pada sidang media selepas operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), semalam.

Mengulas mengenai Operasi Halangan, Nazli berkata, usaha itu bertujuan mengesan kenderaan perdagangan, terutama treler, semi treler dan lori yang meletakkan bahan tidak dibenarkan, seperti kayu serta besi di casis kenderaan terbabit.

Katanya, mengikut undang-undang kaedah kenderaan bermotor, pemandu atau pemilik kenderaan itu boleh membawa bahan terbabit, tetapi tidak dibenarkan meletakkannya atau sebarang objek di bawah kenderaan.

Nazli berkata, dalam operasi yang bermula jam 8 pagi itu, sebanyak 196 notis saman dikeluarkan kepada 112 kenderaan atas pelbagai kesalahan.

“Selain 46 kes besi dan kayu penyendal, terdapat juga saman kerana kesalahan teknikal iaitu 21 kes, tayar celup atau botak (11), lebih muatan (4) dan lain-lain kes,” katanya.

Sementara itu, katanya, sepanjang 2020, PLUS merekodkan sebanyak 776 kemalangan dan statistik itu membimbangkan.

Beliau berkata, PLUS turut memaklumkan, sebanyak 19,218 objek dikutip sepanjang lebuh raya dalam tempoh sama.

Daripada jumlah itu, katanya, 46.1 peratus adalah serpihan tayar pecah, besi (18.4 peratus), kayu (11.9 peratus), manakala selebihnya lain-lain objek, seperti komponen kenderaan dan barangan plastik.

“Bagi tahun ini sehingga 9 Mac untuk kenderaan, JPJ mengeluarkan 14,142 notis saman.

“Antara kesalahan dilakukan adalah membawa muatan bahaya (120 kes), kayu penyendal (88), tayar celup atau tayar botak (475) dan 2,732 kesalahan teknikal,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.